Dua set tren pertama  Projek Kuala Lumpur Additional Vehicles 27 (KLAV27) yang menyertai operasi harian Rapid KL Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya selepas selesai menjalani sesi ujian dan pentauliahan.

KUALA LUMPUR – Dua set tren pertama  Projek Kuala Lumpur Additional Vehicles 27 (KLAV27) yang menyertai operasi harian Rapid KL Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya selepas selesai menjalani sesi ujian dan pentauliahan semalam.

Prasarana berkata, kedua-dua set empat-gerabak model Bombardier Innovia Metro 300 baharu itu mula digunakan selepas mendapat permit kelulusan beroperasi daripada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

“Tren bernombor 192 dan 193 itu dilengkapi dengan beberapa ciri penambahbaikan berbanding 14 unit set tren bermodel sama, yang digunakan sejak 2018 dan diperolehi di bawah inisiatif KLAV14.

“Kesemua 27 set tren yang diperolehi di bawah projek KLAV27, yang secara keseluruhan bernilai RM1.7 bilion dilengkapi dengan beberapa ciri termasuk dalam sistem brek, pintu penumpang, pengurusan tren, kuasa sokongan dan pengenalan digital route map display,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Setakat ini, sebanyak lapan set tren KLAV27 sudah berada di Depoh LRT Laluan Kelana Jaya di Subang termasuk dua yang memasuki operasi harian semalam.

“Enam yang lain masih dalam pelbagai peringkat ujian, pentauliahan dan kelulusan daripada APAD sebelum disuntik masuk perkhidmatan harian.

“Ujian sistem brek, ujian kuasa tarikan tren (train traction power) serta ujian tanpa gagal adalah antara siri-siri ujian atau pentauliahan yang telah dilalui oleh tren-tren ini sebelum diluluskan oleh APAD,” katanya. – MalaysiaGazette