PDRM logo police lockup death Benedict Thanilas
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Satu sindiket penipuan Love Scam dan Parcel Scam yang didalangi oleh sekumpulan warga Nigeria dilumpuhkan polis.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, sindiket itu dikesan dalam operasi berasingan sekitar Kajang, Selangor pada Rabu lalu.

“Sepasukan pegawai dan anggota JSJK memberkas enam lelaki warga Nigeria dan seorang wanita tempatan dalam serbuan kira-kira pukul 3 petang.

“Polis dalam serbuan sama turut merampas pelbagai barang yang disyaki digunakan dalam sindiket itu termasuk lapan komputer riba, 17 telefon bimbit, dua modem wifi serta dua kad mesin juruwang automatik (ATM).

“Siasatan awal mendapati sindiket yang aktif sejak lima tahun lalu itu dan menipu menyasarkan warga tempatan dan luar negara,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Tambah Mohd Kamarudin, sindiket warga Nigeria berkenaan juga mempunyai kaitan dengan sekurang-kurangnya lapan kes penipuan yang sama.

Menurut beliau, suspek memasuki Malaysia menggunakan visa pelajar dan visa lawatan sosial tetapi terus tinggal di negara ini secara haram walaupun sudah tamat tempoh dan terlibat dengan dalam kegiatan penipuan.

“Justeru, siasatan kami juga mendedahkan suspek beroperasi dalam dua kumpulan berbeza iaitu satu kumpulan berperanan mencipta akaun palsu di dalam media sosial dengan memperdaya mangsa manakala satu lagi kumpulan akan bertanggungjawab untuk mencari keldai akaun.

“Sindiket ini juga telah bersekongkol dengan warga tempatan yang akan menyamar sebagai pegawai Jabatan Kastam atau staf syarikat kurier untuk mencari dan memperdaya mangsa,” katanya.

Kesemua suspek berusia 33 hingga 42 tahun itu disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Akta Imigresen 1959/63 untuk tindakan lanjut.- MalaysiaGazette