Kerajaan seharusnya segera  membantu rakyat terhimpit dengan kesan ekonomi ekoran penularan pandemik Covid-19 dan bukan memberikan pilihan untuk mereka berhutang.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kerajaan seharusnya segera  membantu rakyat terhimpit dengan kesan ekonomi ekoran penularan pandemik Covid-19 dan bukan memberikan pilihan untuk mereka berhutang.

Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Sungai Buloh menegaskan, tindakan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin yang membenarkan syarikat pemberi pinjaman wang berlesen beroperasi untuk ‘membantu’ rakyat sesuatu yang aneh dan dangkal.

“AMK Sungai Buloh melihat tindakan Zuraida ini tidak membantu bahkan ia hanya menggalakkan rakyat yang susah untuk terus berhutang dalam suasana terdesak ini. Umpama menggalakan rakyat menyemai lagi benih derita dan natijahnya rakyat bakal menuai sengsara dimasa depan.

“AMK Sungai Buloh merasakan cadangan Zuraida ini hanya bermotif meraih populis dalam arena politik, dek kerana sudah lama tenggelam dan hilang dari arus perdana,” kata Ketua AMK Cabang Sungai Buloh, Johan Ariff Salim.

Johan Ariff Salim

Johan Ariff merujuk kepada kenyataan Zuraidah yang  kerajaan bersetuju membenarkan sektor Kredit Komuniti (KK) atau Pemberi Pinjam Wang (PPW) yang berdaftar bawah KPKT untuk beroperasi berkuat kuasa serta-merta.

KPKT dalam kenyataannya hari ini memaklumkan persetujuan itu dicapai susulan Mesyuarat Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada 18 Jun lalu.

Katanya, sektor Kredit Komuniti adalah sektor yang ke-13 disenaraikan sebagai perkhidmatan perlu bawah Kluster Kerajaan Tempatan dalam sistem COVID-19 Intelligent Management System (CIMS 3.0).

Mengulas mengenai itu, Johan Ariff berkata pihaknya kesal dengan sikap sambil lewa kerajaan menyalurkan bantuan sehingga menyebabkan ramai dalam kalangan rakyat yang terkesan bahkan hingga terdorong untuk membunuh diri.

“AMK Sungai Buloh menegaskan bahawa tugas kerajaan adalah mengelolakan bantuan dan menjadi pemudah cara agar pihak pinjaman kewangan seperti bank dapat memberikan moratorium kepada rakyat yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast