Ebit Lew lewd pictures messages WhatsApp sexual harassment charges
Abdul Jalil Hassan

KUALA LUMPUR – Seramai 110 orang yang terlibat dalam kegiatan pemerdagangan manusia telah ditahan menerusi 44 serbuan yang dilakukan agensi penguatkuasaan bersepadu, termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abdul Jalil Hassan berkata, daripada 44 serbuan itu, seramai 230 orang telah diselamatkan dan memperolehi Perintah Perlindungan Sementara (IPO) sementara 65 orang diletakkan di bawah Perintah Perlindungan (PO).

“Bagi sepanjang tahun 2020, sebanyak 140 serbuan telah dilaksanakan oleh agensi penguatkuasaan membabitkan PDRM, Jabatan Imigresen (JIM), Jabatan Kastam, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Jabatan Tenaga Kerja (JTK).

“Daripada serbuan itu, 243 orang disyaki terlibat jenayah pemerdagangan manusia telah berjaya dicekup dan seramai 599 orang mangsa telah diselamatkan dan memperolehi IPO dan 74 daripadanya diletakkan di bawah PO,” katanya pada sidang media, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja ke Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) dan Jenayah Berat (D9), di Bangunan KPJ di sini.

Tambah beliau pada tahun, sebanyak 205 serbuan telah dilakukan oleh agensi penguatkuasa bersepadu dan hasilnya seramai 427 individu disyaki bertanggungjawab menyeludup migran telah diberkas.

“Berdasarkan serbuan kesalahan jenayah penyeludupan migran ini, seramai 1,898 migran yang menjadi mangsa penyeludupan berjaya diselamatkan.

“Bagi lima bulan pertama pada tahun ini sehingga 31 Mei lalu pula menyaksikan 109 serbuan dilaksanakan dan seramai 182 orang disyaki terlibat penyeludupan migran berjaya dicekup dan hasilnya seramai 907 migran berjaya diselamatkan pihak berkuasa,” ujarnya.

Menyentuh trend kesalahan jenayah kekerasan kes bunuh dan samun, Abdul Jalil berkata, sebanyak 122 kes bunuh direkodkan sejak 1 Januari hingga 31 Mei 2019.

Tambah beliau, bagi tempoh sama, samun berkawan bersenjata api, samun bersenjatapi dan Seksyen 3 dan 4 Akta Senjata Api 1971 (Samun menggunakan Senjatapi) masing-masing merekodkan lima kes diikuti samun berkawan tanpa senjata adalah sebanyak 2,491 kes dan samun bersenjata tanpa api sebanyak 1,497 kes.

“Bagi tempoh yang sama pada tahun 2020, kesemua jenayah kekerasan itu menunjukkan trend penurunan yang mana sebanyak 109 kes bunuh direkodkan diikuti tiga kes samun berkawan senjatapi, 1532 samun berkawan tanpa bersenjatapi, satu kes samun bersenjatapi dan 1018 kes samun tanpa bersenjatapi.

“Penurunan kes bagi lima bulan pertama tahun lalu adalah disebabkan faktor pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan telah dilaksanakan bermula 18 Mac hingga 3 Mei 2020 yang kemudian disambung dengan PKP Bersyarat sehingga 9 Jun 2020.

“Namun bagi lima bulan pertama tahun ini pula kes bunuh kembali menunjukkan trend kenaikan sebanyak 3.67 peratus berbanding tahun sebelumnya begitu juga kes samun naik 10.36 peratus apabila 113 kes bunuh direkodkan diikuti samun berkawan tanpa bersenjatapi (1,552), satu kes samun bersenjatapi, dan 1,271 kes samun tanpa senjatapi,” ujarnya.

Jelas Abdul Jalil, hasil tangkapan dan siasatan yang dijalankan mendapati peningkatan kes samun disebabkan oleh pelbagai faktor dalaman antaranya perselisihan faham, dendam, penagihan dadah, pengambilan alkohol yang berlebihan. -MalaysiaGazette