UMNO perlu melihat hakikat keadaan sebenar jika sekarang pun, UMNO sukar duduk semeja dengan BERSATU, apatah lagi dengan PKR dan DAP. UMNO mesti belajar dari pengalaman PH yang terdahulu.- Gambar hiasan.

SEJAK kekalahan UMNO pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), Malaysia tidak pernah sunyi dari mengalami pergolakan politik dan ianya kelihatan seiring dengan carta kenaikan kes Covid-19.

Peluang darurat yang dipersetujui Yang Di-Pertuan Agong demi keselamatan rakyat untuk menangani Covid-19 nampaknya telah di sia-siakan oleh Tan Sri Mahiaddin sendiri dan beliau kelihatan tidak cekap sebagai Ketua Kerajaan sehingga menjadikan rakyat rasa tertekan, rimas, penat, sangat susah dan bertambah sukar menjalani kehidupan seharian.

Jadi apakah pilihan yang tebaik untuk rakyat dan UMNO bagi mengatasi masalah ini?

1. Tubuh Majlis Gerakan Negara (MAGERAN)
2. Penstrukturan Semula Kabinet
3. Jajaran Baharu PKR-DAP

PRU-15 adalah pilihan terbaik untuk mengatasi secara ‘total’ permasalahan dalam politik Malaysia kini, namun pilihan ini bakal mengulangi kesilapan yang sama seperti mana berlaku pada PRN Sabah, di mana kes Covid-19 melonjak naik dengan tingginya. Keselamatan dan nyawa rakyat tidak harus diperjudikan sekali lagi, jadi pilihan ini mesti dilupakan sekiranya kes Covid-19 tidak sifar.

Saya ingin mengajak sahabat semua untuk bersama memahami dan fikirkan kesan pada setiap pilihan diatas.

Pilihan pertama, memilih untuk menubuhkan MAGERAn, ini bermakna negara akan di bawah pentadbiran kerajaan sementara ‘interim’. Fungsi MAGERAN ini sama saja seperti darurat. Bagi memilih Caretaker ini calon mestilah di kalangan pemimpin yang berpengalaman dalam pemerintahan negara.

Hanya ada tiga calon yang dilihat layak iaitu Tengku Razaleigh, Datuk Seri Najib Razak dan Tun Dr. Mahathir Mohamad. Hakikatnya, Sekarang ini kita masih berada di fasa pemerintahan darurat. Persoalannya adakah pemerintahan darurat ini efektif dan berjaya dalam menangani Covid-19 serta dapat mewujudkan kestabilan politik dalam negara?

Bagaimanakah keadaan rakyat dan politik jika MAGERAN yang dibentuk? Adakah rakyat mahukan lagi pemerintahan Tun Dr Mahathir mengetuai MAGERAN dan menjadi kali ke empat memimpin negara?

Sekiranya ini adalah pilihan terbaik buat Malaysia, pilihlah pemimpin ‘caretaker’ daripada kalangan pemimpin UMNO. Parti UMNO telah terbukti berjasa selama 60 tahun dalam membangunkan Malaysia dan mengutamakan rakyat. Kestabilan politik Negara juga hanya wujud di zaman pemerintahan Kerajaan Barisan Nasional (BN) yang ditunjangi oleh UMNO.

Pilihan kedua pula ialah penstrukturan semula cabinet atau “cabinet reshuffle” Kerajaan PN yang di ketuai oleh BERSATU. Hakikatnya ketika ini, rakyat dapat melihat dan menilai keupayaan Menteri UMNO yang komited dalam menjalankan tanggungjawab di kementerian mereka bagi menangani Covid-19, menguruskan vaksin dan pelbagai keperluan rakyat.

Demi rakyat dan negara, Perdana Menteri Tan Sri Mahiaddin mesti berani menstrukturkan semula kabinetnya, gugurkan menteri-menteri yang hanya membazirkan duit rakyat, tidak konsisten di dalam menjalankan tanggungjawab mereka, hanya buat kontroversi, tidak berfungsi dengan kapasiti maksimum dan tidak cekap dalam membuat keputusan. Contohi negara maju, menterinya berani meletakkan jawatan jika mereka rasa tidak lagi mampu berfungsi secara maksimum kepada rakyat dan negara.

Adakah Perdana Menteri Tan Sri Mahiaddin berani melakukan perubahan ini demi rakyat dan negara, bukan kerana kepentingan parti BERSATU semata-mata.

Mampukah Tan Sri Mahiaddin dan BERSATU berkorban?

UMNO mempunyai banyak calon yang berwibawa dan berilah Jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri-Menteri kanan kepada UMNO untuk sama-sama membantu kearah kecemerlangan Malaysia.

Jikalah Tan Sri Mahiaddin tidak lagi “fit” untuk menjalankan tanggungjawab sebagai Perdana Menteri Malaysia, Pemimpin UMNO boleh gantikan beliau sebagai Perdana Menteri, UMNO ada banyak pemimpin yang berkemampuan kerana UMNO telah pun terbukti 60 tahun berjaya mentadbir Negara dengan baik.

Pilihan ketiga adalah pilihan yang kontroversi di dalam politik negara. Kita kedengaran ada juga cadangan “jajaran baharu” yang dikaitkan dengan kerjasama UMNO, PKR dan DAP.

Ya, saya faham politik ini bersifat dinamik dan sentiasa berubah. Contoh yang jelas kita dapat lihat di mana Tun Dr. Mahathir bekerjasama dengan Anwar, Lim Kit Siang demi menumbangkan kerajaan UMNO BN.

Keputusan Persidangan Agung UMNO 2020) (PAU 2020) telah menentukan dasar parti iaitu “No Anwar, No DAP dan No BERSATU” semasa pilihanraya PRU-15 nanti. Walaupun jajaran baru ini belum dibentuk namun terdapat banyak pandangan ahli UMNO yang tidak bersetuju apabila UMNO hendak bergabung dengan DAP dan PKR. Keputusan PAU 2020 ini telah menjadi faktor penghalang untuk membentuk kerajaan ‘Jajaran Baru’ ini.

Pengalaman hitam rakyat Malaysia khususnya orang Melayu yang pernah berada di bawah pemerintahan Kerajaan PH DAP cukup memberikan kesan negatif dan “fobia” dengan pemerintahan kerajaan PH yang lepas.

UMNO perlu melihat hakikat keadaan sebenar jika sekarang pun, UMNO sukar duduk semeja dengan BERSATU, apatah lagi dengan PKR dan DAP. UMNO mesti belajar dari pengalaman PH yang terdahulu.

Tun Dr. Mahathir yang diibaratkan seorang diktaktor pun tidak mampu menguasai dengan baik jajaran PH, beliau tidak mampu menguruskan menteri kabinetnya, negara dan rakyat dengan baik sehingga beliau sendiri meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri yang ketujuh.

Adakah sekarang ini menjadi prioriti kepada kita untuk mencuba lagi dari Kerajaan PH, interim, PN dan darurat kepada satu lagi Kerajaan ‘jajaran baharu’ dalam tempoh negara kita masih berperang dengan Covid-19?

Apa yang akan terjadi pada ekonomi negara, pendapatan rakyat, kesejahteraan rakyat, kepentingan rakyat, masalah rakyat di atas krisis yang tidak berhenti melanda Malaysia sejak Kerajaan BN UMNO tumbang pada PRU-14 dahulu.

Semua pilihan di atas menjadi persoalan kepada rakyat dan saya berharap kali ini UMNO membuat keputusan yang tepat dalam memilih rakan perjuangannya sebelum menghadapi PRU-15 demi rakyat.

Hanya UMNO mampu membawa Malaysia kearah kestabilan dan kesejahteraan.- MalaysiaGazette

Dr. Najmil Faiz Mohamed Aris

Dr. Najmil Faiz Mohamed Aris merupakan Exco Pergerakan Pemuda UMNO.