Bank Negara
Logo Bank Negara Malaysia

KUALA LUMPUR – Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 1.75 peratus di mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) yang akan diadakan pada bulan Julai.

AmBank Research berkata, unjuran itu dibuat meskipun terdapatnya ketidakpastian yang kian ketara disebabkan oleh pandemik yang telah meningkatkan risiko terhadap pertumbuhan berikutan gangguan rantaian bekalan dan kelewatan pembukaan semula ekonomi.

“Dan dengan fokus untuk menangani pandemik, kecepatan vaksinasi dan ujian berserta kuarantin, ini bermakna sebarang kenaikan kadar oleh bank tidak mungkin berlaku pada pada tahun 2021, tetapi lebih pada tahun 2022,” katanya dalam satu nota penyelidikan hari ini.

Firma penyelidikan itu berkata, inflasi keseluruhan pula diunjur berlegar sekitar 3.0 peratus hingga 3.5 peratus untuk tahun penuh (unjuran BNM: 2.5 peratus – 4.0 peratus).

“Ini bermakna inflasi secara purata untuk tujuh bulan akan datang ialah sekitar 3.6 peratus hingga 4.5 peratus,” katanya.

Sementara itu, CGS-CIMB turut meramalkan bank pusat akan mengekalkan OPR pada 1.75 peratus pada separuh kedua tahun 2021. – MalaysiaGazette