Sahabudin (dua dari kanan) menunjukkan rokok seludup yang dirampas polis dalam tiga serbuan pada Sabtu lalu.

SEBERANG PERAI – Polis menumpaskan sindiket pengedaran rokok seludup yang dipercayai bergiat aktif sejak empat bulan lalu.

Kejayaan itu selepas pihaknya merampas rokok pelbagai jenama yang dianggarkan bernilai RM7.8 juta dalam tiga serbuan berasingan pada Sabtu lalu.

Serbuan Ops Kontraban di tiga rumah teres di Machang Bubok, Taman Seri Juru dan Taman Cendana Juru di Bukit Mertajam itu turut membawa kepada tangkapan 12 lelaki lelaki tempatan berusia antara 18 hingga 38 tahun.

Difahamkan, kesemua suspek itu dibayar upah RM2,000 hingga RM2,500 setiap seorang untuk menghantar rokok seludup ke lokasi mengikut permintaan.

Sebahagian rokok seludup bernilai RM7.8 juta yang dirampas polis.

Selain itu, mereka juga dikatakan berasal dari selatan tanah air dan ditinggal di negeri itu bagi menguruskan pengedaran rokok seludup.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Sahabudin Abd Manan berkata, kejayaan itu hasil intipan sepasukan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) dan Bahagian Khas (D8) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang dengan kerjasama anggota di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah bermula jam 5 pagi.

Dalam serbuan itu kira-kira 4.7 juta batang rokok putih dan 691,200 batang rokok kretek tidak bercukai pelbagai jenama yang dianggarkan bernilai RM7.8 juta dirampas, katanya.

Sahabudin (dua dari kiri) menunjukkan barang yang dirampas dalam serbuan tersebut.

“Hasil siasatan mendapati kesemua rokok yang dipercayai diseludup masuk dari negara jiran itu untuk diedarkan sekitar Utara Semenanjung.

“Kesemua 12 tangkapan ini merupakan ahli sindiket dan semakan juga mendapati lima daripada suspek itu mempunyai rekod lampau berkaitan dadah, judi serta Akta Kastam.

“Dalam serbuan itu juga, kita sita sembilan buah kereta bernilai RM236,000 yang digunakan untuk kegiatan haram itu dan  secara keseluruhan jumlah rampasan adalah RM8.04 juta,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah di Bukit Mertajam di sini hari ini.

Tambah beliau, kesemua suspek kini direman bagi membantu siastaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967.

Antara rokok seludup yang dirampas polis untuk pasaran utara tanah air.

“Selain itu mereka juga dikenakan tindakan dibawah Peraturan 4(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (No.3) 2021 yang boleh dikenakan kompaun dengan magnitud bernilai RM5,000,” kata Sahabudin. – MalaysiaGazette