Noorzainy Mohd Noor.

TASEK GELUGOR – Tindakan seorang lelaki cuba menyogok polis bagi melepasi sekatan jalan raya (SJR) di sempadan Kedah-Pulau Pinang di Kampung Selamat di sini membawa padah apabila dia ditahan polis hari ini.

Lelaki berusia 41 tahun yang menunggang motosikal jenis Kawasaki 250 itu ditahan pada jam 3.30 petang susulan masih degil memberikan wang berjumlah RM50 walaupun perbuatannya ditegur anggota bertugas.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, ketika suspek melalui SJR tersebut anggota polis telah meminta dokumen kebenaran rentas negeri, namun dia gagal mengemukakannya.

“Tidak lama kemudian, suspek menawarkan wang sogokan untuk melepaskan diri dengan cuba merasuah anggota itu sebanyak tiga kali.

“Lelaki itu memaksa anggota menerima wang yang disimpan dalam lipatan surat Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) yang telah tamat tempoh bertarikh Januari lalu.

“Susulan itu, suspek ditahan sebelum pihak polis merampas wang tunai RM50, sebuah telefon bimbit dan sehelai surat MITI bagi tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambah Noorzainy, lelaki berkenaan dibawa ke Balai Polis Tasek Gelugor bagi siasatan lanjut, manakala dia turut dikompaun RM5,000 kerana merentas negeri tanpa kebenaran.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009,” kata beliau. – MalaysiaGazette