Tengku Razaleigh Hamzah

KUALA LUMPUR – Titah Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah agar sidang Dewan Rakyat bersidang segera membuktikan bahawa baginda berjiwa rakyat.

Menurut veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah situasi itu berbeza dalam kalangan ahli-ahli parlimen mahupun pemimpin kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang bertindak membuat kenyataan yang menganggah titah baginda.

“Tuanku berjiwa rakyat, namun orang yang mewakili rakyat tidak berjiwa rakyat.

“Yang di-Pertuan Agong mahu melihat Parlimen bersidang seberapa segera yang boleh tetapi dipertikaikan.

“Bukan oleh satu pihak tetapi banyak pihak, bukan daripada kami yang mahu melihat Parlimen bersidang dengan segera,” katanya dalam sidang media secara maya yang diadakan di Facebook beliau, hari ini.

Pada 16 Jun lalu, YDPA menzahirkan pandangan supaya persidangan Parlimen diadakan secepat mungkin.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin menerusi satu kenyataan berkata, ini bagi membolehkan pelan pemulihan negara yang dibentang kerajaan semalam dan pelaksanaan Ordinan Darurat 2021 dibahasakan Ahli-Ahli Dewan Rakyat.

Dalam pada itu, Tengku Razeleigh berkata, pemimpin yang dilihat menganggah titah Al-Sultan patut meletakkan jawatan beliau.

Tanpa menamakan mana-mana pemimpin, Tengku Razaleigh berkata, langkah itu perlu kerana titah YDPA itu mendapat sokongan daripada Majlis Raja-raja Melayu yang mengadakan pertemuan khas dua minggu lalu.

“Saya rasa orang begini patut pencen, tidak disambung khidmatnya kerana pertikaikan sesuatu yang patut dijunjung dan dijalankan perintah yang dikeluarkan oleh YDPA.

“YDPA mendapat sokongan senada dengan titah baginda daripada Raja-raja Melayu yang datang khusus untuk mendengar taklimat untuk mengambil tahu hal rakyat. Apakah tindakan perlu yang patut dilakukan oleh Raja-raja Melayu di merata tempat,” katanya.

Kenyataan itu dipercayai merujuk kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Hal Ehwal Undang-undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang berkata YDPA tidak menetapkan tarikh untuk Parlimen kembali bersidang.

Takiyuddin dalam satu program Bicara Harakah bertajuk ‘Proklamasi Darurat: Berjaya atau Sebaliknya’ yang disiarkan secara maya pada 16 Jun lalu berkata, tarikh yang dinyatakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk tujuan yang sama juga sudah hampir.

“Perkataan digunakan dalam kenyataan Yang di-Pertuan Agong adalah ‘persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin’. Yang di-Pertuan Agong tidak menitahkan supaya persidangan Parlimen perlu diadakan pada bulan tertentu.

“Perdana Menteri kata pun bulan September atau Oktober (Parlimen boleh berlangsung). Sekarang kita sudah hampir penghujung Jun. Selepas ini Julai, Ogos, September… sudah hampir.

“Pasti persidangan (Parlimen) akan diadakan,” kata Takiyuddin.

Dalam pada itu, Tengku Razaleigh juga berkata, rakyat pada masa ini semakin marah dengan dasar flip flop kerajaan mengenai Prosedur Operasi Standard (SOP) Covid-19.

Jelasnya, perasaan marah rakyat itu timbul apabila ada sesetengah golongan yang tidak dikenakan tempoh kuarantin sebagai mana yang dikenakan terhadap rakyat marhaen.

“Baguslah SOP diperkenalkan tetapi pilih kasih yang buat rakyat marah. Sesetengah orang tidak dikenakan kuarantin ataupun diberikan kebebasan untuk bergerak, tetapi ada pihak dikecualikan.

“Seolah-oleh orang ini dapat perlindungan daripada malaikat yang turun menyelamatkan mereka, jadi ini semuanya marah rakyat kerana tidak ada sesuatu yang dilakukan secara adil.

“Ini menyebabkan rakyat tidak berapa ikut perintah yang dilakukan oleh kerajaan,” katanya.

Justeru itu, beliau menasihatkan agar kerajaan menghentikan sikap pilih kasih kerana rakyat semakin muak dengan dasar itu.

“Saya berharap ini dihentikan dan kerajaan akan laksanakan peraturan-peraturan yang diperkenalkan dengan cara yang adil dan baik.

“Jangan tangguh dan ubah sehingga menimbulkan masalah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette