Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A. Anbalagan . Foto MOHD ADZLAN, 25 JUN 2021.

SERDANG – Seorang wanita ditahan polis kerana disyaki mendera bayi lelaki berusia sembilan bulan di bawah jagaannya.

Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner A.A. Anbalagan berkata, suspek merupakan seorang pengasuh ditahan berikutan laporan polis yang dibuat seorang doktor Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada 23 Jun lalu.

“Doktor perubatan itu dalam laporan menyatakan bahawa beliau menerima pesakit bayi lelaki itu dan pengasuhnya (suspek wanita) mendakwa keadaan bayi itu menjadi lemah ketika dikejutkan dari tidur untuk memberi susu di rumahnya dan terus membawa ke hospital untuk rawatan.

“Semasa doktor berkenaan (pengadu) membuat pemeriksaan di Hospital PPUM, pengadu telah mengesyaki bahawa bayi berkenaan telah didera apabila terdapat kesan kecederaan yang dialami oleh bayi tersebut yang mana berlaku kecederaan serius di kepala dan kritikal,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tambah Anbalagan, polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 serta Kanun Keseksaan setelah laporan itu diterima daripada doktor itu.

Katanya, bertindak atas maklumat, tangkapan telah dibuat oleh pasukan D11 Bahagian Siastaan Jenayah IPD Serdang ke atas wanita itu pada 24 Jun lalu.

“Suspek telah direman selama tujuh hari sehingga 30 Jun ini untuk membantu polis melengkapkan siasatan kes penderaan itu.

“Namun, kita telah mendapat arahan dari Timbalan Pendakwaraya untuk menuduh suspek di mahkamah dan kita telah mendakwa suspek wanita itu di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada pagi hari ini,” ujarnya.

Menurut Anbalagan, wanita itu mengaku tidak bersalah di mahkamah dan dibenarkan dengan wang jaminan sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin. – MalaysiaGazette