KUALA LUMPUR – Sebanyak 6,437 kes positif baharu Covid-19 direkodkan pada hari ini berbanding 5,218 yang dilaporkan semalam, pertambahan 1,219 kes.
Berikutan itu, jumlah keseluruhan kes positif meningkat kepda 745,703 kes.
Kes kematian turut meningkat hari ini dengan 107 kes berbanding 57 kes semalam, menjadikan jumlah kumulatif kematian meningkat kepada 5,108 kes atau 0.68 peratus.
Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah, daripada kes kematian itu, 99 adalah warganegara, manakala lapan bukan warganegara.
“Sebanyak 107 kes kematian pada hari ini melibatkan 43 di Selangor, 16 di Negeri Sembilan, 11 di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, masing-masing tujuh di Kedah, dan Melaka.
“Johor mencatatkan enam kematian, masing-masing empat di Sabah, Kelantan dan Wilayah Persekutuan Labuan, masing-masing dua kes di Sarawak dan Pahang serta satu kes di Terengganu,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Mangsa paling muda meninggal dunia disebabkan Covid-19 berusia 34 tahun dari Sungai Petani, Kedah kerana kencing manis dan paling tua seorang lelaki berusia 92 tahun akibat darah tinggi dan dislipidemia, ujar beliau.
Dr. Noor Hisham bekata, sebanyak 5,298 kes sembuh dilaporkan pada hari ini menjadikan aktif yang direkodkan ialah 62,844 kes.
Selain itu, sejumlah 905 kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 455 kes memerlukan bantuan pernafasan.
Menurut beliau, pihaknya mengenal pasti 27 kluster baharu pada hari ini dan sejumlah 887 kluster masih aktif.
Kata Dr. Noor Hisham, pandemik Covid-19 memberi impak yang amat besar kepada kesihatan mental setiap individu di seluruh dunia dan tidak terkecuali rakyat Malaysia.
Sesetengah individu jelas beliau, berisiko tinggi untuk mengalami masalah kesihatan mental termasuk kemurungan terutama ketika berada dalam keadaan tekanan yang melampau dan isolasi daripada rangkaian sokongan keluarga dan sahabat handai.
“Sekiranya kemurungan ini gagal dikenal pasti dan dirawat dengan baik, ianya boleh meningkatkan risiko tingkah laku bunuh diri,” katanya.
Sumber daripada Polis Diraja Malaysia mendapati, terdapat peningkatan dalam kes bunuh diri yang dilaporkan pada tahun 2020 iaitu sebanyak 631 kes berbanding 609 kes pada tahun 2019, tambah beliau.
Sehingga Mac 2021, sejumlah 336 kes bunuh diri telah dilaporkan kepada polis.
Justeru, Dr. Noor Hisham meminta masyarakat agar lebih cakna dan prihatin kepada ahli keluarga dan orang sekeliling dalam mengenal pasti simptom awal kemurungan yang boleh menyumbang kepada tingkah laku bunuh diri.
Tingkah laku itu seperti perubahan tingkah laku kepada individu, sentiasa kelihatan sedih dan murung, hilang minat terhadap aktiviti yang biasa dilakukan, kesukaran untuk menumpukan perhatian dan melakukan tugas harian yang biasa, mengasingkan diri daripada keluarga dan rakan-rakan, tambah beliau.
Katanya, ia juga dikesan melalui perubahan seperti mengalami gangguan tidur dan selera makan, bertindak agresif dan kasar kepada diri sendiri dan orang sekeliling, dan menyalahguna alkohol serta dadah.
“Sekiranya terdapat gejala ini, individu dinasihatkan agar mendapatkan nasihat perubatan profesional dalam kadar yang segera bagi mengelakkan keadaan yang lebih buruk. – MalaysiaGazette