JOHOR BAHRU – Walaupun berdepan dengan kesulitan ekoran pelaksanaan Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara namun penduduk Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Rumah Pangsa 1, Taman Air Biru di Pasir Gudang dekat sini bersepakat mewujudkan Gerobok Prihatin.
Ia nama diberi kepada pusat pengumpulan makanan untuk jiran tetangga yang memerlukan bekalan di saat penularan Covid-19 yang melanda negara.
Ketua WHIP Majlis Bandaraya Pasir Gudang, Baharuddin Mohamed Taib berkata, Gerobok Prihatin tercetus selepas komuniti mendapati permintaan barangan keperluan dalam kalangan penduduk meningkat sejak penularan pandemik.
Menurutnya, ia diasaskan oleh mereka yang bergelar B40 bagi membantu sesama mereka yang dihimpit masalah kewangan.
“Kita fikir kalau kita hanya harapkan kerajaan sampai mana, mungkin kerajaan hanya mampu beri mungkin sekali, jadi untuk seterusnya kami berfikir kita wujudkan Gerobok Prihatin supaya kita dapat membantu masyarakat sepanjang masa.
“Kita lihat penduduk di sini bukan senang sangat pun, mereka kebanyakan B40 tetapi masih ada lagi kerja, masih ada lagi boleh dapat rezeki, jadi dalam rezeki yang mereka ada walaupun sedikit mereka boleh menyumbang di sini tak perlu kaya pun B40 pun boleh menyumbang kalau mereka masih ada kerja.
“Dan kalau mereka lihat jiran lain susah mereka pun rasa bersalah juga dalam agama pun memang kehendaki kalau jiran kita susah, kita kena tolong,” katanya ketika ditemui di Rumah Pangsa Peringkat 1 Taman Air Biru, Pasir Gudang di sini semalam.
Menurut Baharuddin, Gerobok Prihatin juga tidak sesekali mengehadkan kekerapan pengambilan bahan keperluan untuk penduduk.
Ini kerana, syarat yang ketat hanya menyukarkan golongan yang memerlukan mendapatkan bantuan namun penerima hanya boleh memilih lima bahan keperluan diperlukan sahaja.
Menurutnya, walaupun baru seminggu Gerobok Prihatin dilaksanakan, ia sudah menyumbang kepada lebih 50 penerima dalam kalangan penduduk di taman berkenaan.
“Gerobok Prihatin ini supaya mereka boleh membantu rakan-rakan yang lain yang saya lihat di sini, kawasan ini baru tubuhkan seminggu lebih tapi kita tidak menjangkakan ia telah membantu ramai penduduk.
“Jika hari ini orang ambil sedikit, esok orang menyumbang lagi, orang ambil sedikit orang menyumbang lagi. Begitulah,” katanya.
“Gerobok Prihatin ini sentiasa ada tiada masalah, jadi saya ingat minggu lepas hampir 20 orang, itu yang tidak tahu jadi pada masa akan datang kalau orang lebih tahu penyumbang lebih banyak, penerima juga lebih banyak jadi perkara itu jadi seimbang,” ujarnya.
Sementara itu, seorang ibu tunggal beranak lima, Nurul Tompang yang kehilangan kerja sejak beberapa bulan lalu mengakui Gerobok Prihatin memberi manfaat buat individu sepertinya.
“Bagi sayalah memang sangat terkesan sebab dua bulan saya telah dicutikan kerja sebab pelanggan di tempat saya bekerja sangat kurang, saya pembantu tukang masak.
“Sangat bagus sebabnya dapat membantu penduduk yang memerlukan, terima kasih bagi pihak yang menyumbang terima kasih pada ketua kawasan persekitaran kami yang ambil beratlah tentang masalah rakyat sekitar,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi, suri rumah, Norlela Mohammad pula mengetahui mengenai bantuan Gerobok Prihatin melalui jirannya dan telah mengambil barang keperluan di situ sebanyak dua kali.
Ternyata, bantuan itu memberi manfaat kepada mereka yang memerlukan bantuan.
“Mereka kadang-kadang ada telefon suruh ambil dan kalau bulan depan ada lagi saya ambil ini sudah dua kali saya ambil. Alhamdulilallah boleh kurangkan beban sikit sebab sudah berapa bulan tidak bekerja,” katanya.- MalaysiaGazette