Khairil Nizam Khirudin

KUALA LUMPUR – Pemuda Perikatan Nasional (PN) mengucapkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana menzahirkan beberapa cadangannya dalam Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH).

Ketuanya, Senator Ir. Khairil Nizam Khirudin berkata, antara cadangan dizahirkan itu ialah moratorium kepada semua golongan masyarakat dan peniaga, kawalan harga minyak masak, diskaun tarif elektrik kediaman dan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Kata beliau, pemberian itu sememangnya sesuatu yang dinantikan dan semestinya melegakan rakyat secara keseluruhannya.

Kenyataan itu dikeluarkan bersama Ketua Armada Bersatu Nasional, Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal; Ketua Pemuda STAR, Rizal Johari; Ketua Pemuda SAPP, Jamain Sarudin; dan Pemangku Ketua Pemuda Gerakan Pusat, Wong Chia Zhen.

Pemuda PN memuji sikap profesional kerajaan memperuntukan RM300,000 kepada setiap Ahli Parlimen baik daripada blok kerajaan mahupun pembangkang, sebagai bukti keprihatinan kerajaan PN yang bersifat inklusif dan bertanggungjawab tanpa mengira ideologi politik.

“Kita ambil kesempatan ini merakamkan penghargaan dan tahniah kepada barisan kabinet dan kerajaan pimpinan Muhyiddin di atas perancangan teliti serta terperinci pelaksanaan PEMULIH.

“Sekalipun dalam keterbatasan, ternyata perincian PEMULIH membuktikan kerajaan prihatin dengan keluh kesah dan kesusahan rakyat, di mana segala keputusan diambil berlandaskan keperluan semasa, bertepatan dengan denyut nadi rakyat,” katanya kepada media hari ini.

PEMULIH meliputi nilai keseluruhan RM150 bilion merangkumi suntikan fiskal kerajaan RM10 bilion dan tertumpu kepada tiga fokus utama iaitu meneruskan agenda prihatin rakyat, menyokong perniagaan dan meningkatkan vaksinasi.

Menurut Ir. Khairil Nizam, Pemuda PN akan menggalakkan penglibatan lebih ramai sukarelawan dari kalangan parti komponen dalam melancarkan proses vaksinasi di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di seluruh negara dan juga kerja kebajikan.

Kata beliau, mereka berikrar berdiri teguh di belakang Perdana Menteri untuk menakhodai negara dan rakyat agar keluar dari badai pandemik Covid-19 melalui Pelan Pemulihan Negara.

Beliau turut menyeru rakyat bersatu padu bersama menggembleng usaha ke arah pemulihan negara sepenuhnya daripada ancaman wabak Covid-19 yang melanda negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast