Program harga kawalan berasaskan nilai ambang minyak sawit mentah yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam senada dengan hasrat Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK).- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Program harga kawalan berasaskan nilai ambang minyak sawit mentah yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam senada dengan hasrat Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK).

Bagaimanapun menterinya, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali mahu melihat program berkenaan ditambah baik pada masa depan dengan subsidi dapat disediakan kepada golongan sasar yang benar-benar layak.

“Maka dengan pelaksaan program itu nanti harga minyak masak botol lima kilogram yang tidak bersubsidi dapat dikawal dengan harga silingnya tidak melebihi RM30 sebotol malah sekiranya kawalan harga minyak sawit mentah dapat dilaksanakan dengan lebih baik, kemungkinan rakyat memperoleh harga minyak masak lima kilogram yang lebih murah,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Semalam, Muhyiddin ketika mengumumkan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) berkata, kerajaan
akan melaksanakan Program Harga Kawalan berasaskan nilai ambang minyak sawit mentah atau Crude Palm Oil sebagai langkah menangani isu kenaikan harga minyak masak botol satu hingga lima kilogram (kg).

Jelas Perdana Menteri, kerajaan juga menyediakan peruntukan tambahan sebanyak RM1 bilion dalam memastikan bekalan minyak masak pek polibeg satu kilogram (kg) terjamin.

Melalui peruntukan itu katanya, rakyat akan dapat membeli minyak masak pek polibeg satu kg pada harga bersubsidi RM2.50.

Mengulas lanjut, Mohd Khairuddin menyifatkan PEMULIH yang diumumkan semalam sememangnya dinantikan rakyat demi untuk meringankan beban mereka dalam keadaan pandemik Covid-19 dan pelaksanaan Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN).-MalaysiaGazette