Saddil Ramdani. Foto Facebook Sabah Football Club.

KUALA LUMPUR – Pemain sayap Sabah FC, Saddil Ramdani mengakui tanggungjawab yang lebih besar dipikul selepas ini untuk terus membantu pasukan selepas sah dilanjutkan kontrak sehingga November 2022.

Sabah FC pada hari ini mengumumkan lanjutan kontrak pemain kelahiran Indonesia itu bersama-sama dua lagi pemain iaitu Randy Baruh dan Alto Linus.

Pemain berusia 22 tahun ini teruja apabila terus diberikan kepercayaan untuk memperkuatkan pasukan itu sehingga musim depan namun tidak menolak perlu bekerja keras dan tidak boleh sekadar berada di zon selesa.

Jelasnya, sejak berhijrah ke Sabah pada musim ini, Saddil mengakui berpuas hati dengan apa yang telah dilalui bersama pasukan di pentas Liga Super yang mana prestasinya juga berada pada tahap memuaskan untuk terus memberi impak kepada skuad.

“Alhamdulillah dengan kontrak yang dilanjutkan ini, tetapi pastinya ia perlu ada tambahan kerja keras kerana ini adalah tanggungjawab besar yang perlu saya buat untuk selalu memberikan yang terbaik.

“Saya tidak boleh sia-siakan kepercayaan rakan-rakan, barisan kejurulatihan dan pihak pengurusan kerana semestinya mereka mengharapkan sesuatu yang positif apabila diberi lanjutan kontrak ini.

“Untuk prestasi sendiri, saya telah menjaringkan tiga gol setakat ini, tetapi sebenarnya saya tidak mahu melihat kepada jumlah jaringan sangat kerana ia bergantung kepada situasi di atas padang ketika itu.

“Secara peribadi, untuk saya yang penting adalah perlu membantu pasukan kerana walaupun saya jaringkan gol, tetapi ia tidak memberi kemenangan kepada pasukan, tiada gunanya juga, jadi cukuplah asalkan pasukan ini akan terus membangun dengan cemerlang”, jelasnya.

Dalam masa sama, bekas pemain Pahang ini mengakui sudah tidak sabar untuk menanti saingan Liga Super kembali bersambung pada 24 Julai depan kerana sudah agak lama berlatih sambil mengharapkan situasi pandemik COVID-19 ini beransur pulih.

Latihan secara Camp Based Training yang dijalankan ketika ini juga secara tidak langsung lebih membantu meningkatkan prestasi pemain selain mengeratkan lagi hubungan sesama mereka dalam sesi latihan.

“Saya di sini mungkin merasakan perbezaannya kerana jauh dari keluarga dan teman-teman, tetapi saya semakin belajar untuk menyesuaikan diri kerana mereka semua di sini sangat menyokong antara satu sama lain.

“Perlawanan juga akan berlangsung kurang daripada satu bulan lagi dan secara peribadi saya merasa sangat gembira di Camp Based Training ini kerana kami lebih rapat dan bekerja keras untuk mempersiapkan diri di tahap maksimum”, tambahnya.

Saddil sebelum ini pernah beraksi bersama Pahang pada musim 2019 sebelum kembali ke Indonesia untuk beraksi bersama Bhayangkara FC dan kini mengubah haluan bersama Sabah FC. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast