KUALA LUMPUR – Kerajaan bersetuju mengenakan beberapa sekatan tambahan bagi kemasukan pengembara ke Wilayah Persekutuan Labuan, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Menteri Kanan Keselamatan itu berkata, antara sekatan tambahan ialah pengembara wajib menjalani ujian RT-PCR Covid-19 tiga hari sebelum kemasukan.
Selain itu, katanya, pengembara juga perlu menjalani kuarantin wajib iaitu 10 hari di rumah bagi penduduk asal Labuan dan 10 hari di rumah atau hotel untuk penjawat awam, manakala 14 hari di hotel bagi pelawat asing dari luar negara.
“Pengguna Kad Harian Transporter juga diwajibkan mengambil PCR setiap dua minggu dan wajib menjalani ujian RTK antigen setiap minggu.
“Sign on dibenarkan untuk warga negara sahaja dan wajib menjalani kuarantin 14 hari dengan sekali ujian RT PCR pada hari ke 10.
“Prosedur kemasukkan ke Labuan adalah terpakai sepenuhnya dan keutamaan diberikan kepada individu yang telah mengambil vaksin Covid-19,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Menurut Ismail Sabri, pelaksanaan sekatan tambahan itu akan berkuatkuasa 1 Julai ini dan sehingga diberitahu kelak.
Sementara itu, tujuh kawasan melibatkan Petaling Jaya, Kuala Terengganu, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Sabah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama dua minggu.
Kata beliau, lokaliti itu ialah Mentari Court, PJS 8; Taman Perumahan SS 91A, Sungai Way; dan Pangsapuri Westlite – PKNS di daerah Petaling, Selangor, manakala Kuala Terengganu melibatkan Kampung Kubang Jela, Mukim Manir.
Di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pula melibatkan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pantai Ria dan Taman Bukit Angkasa; serta Kampung Balung Cocos, Tawau, Sabah.
PKPD di tujuh lokaliti itu bermula 1 hingga 14 Julai ini.
Beliau juga memaklumkan sebanyak 12 lokaliti ditamatkan tempoh pelaksanaan PKPD mulai malam ini dan esok.
Kawasan itu ialah Country Heights Apartment dan Vista Minintod Apartment di Penampang, Sabah; PPR Taman Ehsan, Kudat; Kampung Goebilt dan Kampung Muara Tebas di Kuching, Sarawak; Kampung Rancangan dan Kampung Kijang Merotai di Kalabakan, Sabah.
Turut tamat ialah Kampung Tanjung Batu Tengah dan Taman Semarak Megah di Tawau; Kampung Rampayan dan Kampung Kionsom Kecil di Kota Kinabalu; dan Kampung Taun Gusi Peninting, Kota Belud, Sabah. – MalaysiaGazette