SHAH ALAM – Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhkan hukuman denda RM2,000 hingga RM28,000 ke atas tiga pegawai Imigresen (Ops Selat) yang mengaku bersalah menerima suapan ketika bertugas.
Hakim Rozilah Salleh menjatuhkan hukuman denda tanpa dikenakan dipenjara ke atas tiga tertuduh Zulkiah Ibrahim, 29, Danny Supil, 42, dan Mohd Syahmi Sapawi kerana mengaku bersalah dan menyesal dengan perbuatan masing-masing.
Tertuduh pertama, Mohamad Zulkiah ditangkap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan direman selama tujuh hari untuk siasatan kes menerima wang tunai sebanyak RM7,000 ketika bertugas di Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA).
Menurut kertas pertuduhan, Mohamad Zulkiah yang baru mendirikan rumah tangga tahun lalu menerima wang suapan itu daripada Zul Anishaffizie Zakaria bagi tujuan hal berkaitan keluar masuk pendatang asing tanpa izin.
Beliau didakwa di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara tidak sampai dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Selepas mendengar rayuan daripada peguam bela, Hakim mengenakan hukuman denda sebanyak RM28,000 ke atasnya.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Wan Shaharuddin Wan Ladin.
Bagi tertuduh kedua, Danny Supil dituduh menerima wang tunai berjumlah RM200 daripada Mohd Shah Ezywan Abd. Rahman ketika bertugas di Pusat Operasi, Bahagian Kawalan Keselamatan KLIA 2.
Beliau yang berasal dari Sabah dan ditukarkan ke KLIA 2 tahun 2015 di dakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan (Akta 574).
Selepas mengaku bersalah dan membuat rayuan, mahkamah menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM2,500 atau tiga tahun penjara jika gagal membayar denda.
Mohd Syahmi yang merupakan tertuduh ketiga dan pegawai Imigresen paling muda menghadapi lima pertuduhan pilihan dan mengaku bersalah menerima suapan masing-masing berjumlah RM3,000, RM3,600 dan RM10,000 daripada Zul Anishaffizie.
Beliau dituduh menerima suapan itu pada 15 Ogos di Maybank Gateway KLIA 2, Sepang, Selangor.
Rozilah kemudian menjatuhkan hukuman denda masing-masing RM1,500 bagi kesalahan pilihan ketiga dan keempat serta RM2,000 untuk kesalahan pilihan kelima, manakala kesalahan pilihan pertama dilepaskan dan dibebaskan.
Semua mereka, termasuk Mohd Syahmi yang diwakili peguam membayar denda.
Terdahulu, ketiga-tiga tertuduh, dua daripadanya yang diiringi pegawai SPRM tiba di Mahkamah sesyen Shah Alam kira-kira jam 8 pagi manakala seorang lagi, Zulkiah datang bersama isterinya. – MalaysiaGazette