Video samun tembak menembak yang didakwa berlaku di sebuah klinik di Puchong adalah palsu, sebaliknya berlaku di luar negara, kata Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed dalam kenyataan malam ini.

SHAH ALAM – Polis Selangor hari ini menafikan berlaku insiden tembak menembak membabitkan dua suspek samun dan pemilik premis di Puchong, seperti mana yang dipaparkan dalam rakaman video yang tular di laman media sosial sejak seminggu lalu.

Ketua Polis Selangor, Komisioner Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, pihaknya telah mengesan klip video berdurai satu minit 44 saat itu dalam media sosial yang didakwa berlaku di salah sebuah klinik di Puchong, Selangor.

“Sehubungan itu, pihak Polis Kontinjen Selangor mengeluarkan kenyataan media ini, bagi memaklumkan kepada masyarakat bahawa dakwaan kejadian tersebut berlaku di Puchong, Selangor adalah tidak benar sama sekali dan merupakan berita palsu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Arjunaidi, semakan polis mengenai video itu mendapati kejadian tersebut berlaku di luar negara.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai agar tidak membuat kesimpulan sendiri serta tidak mudah terpengaruh dengan sebarang bentuk berita palsu yang disebarkan oleh individu tidak bertanggungjawab.

“Selain itu orang ramai juga dinasihatkan agar tidak membuat perkongsian atau menyebarkan sebarang berita yang diperolehi dari sumber yang tidak sahih.

“Perbuatan ini boleh mencetuskan suasana panik serta boleh menggugat ketenteraman awam,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast