KUALA LUMPUR – Indeks Harga Pengeluar (IHPR) pengeluaran tempatan bagi bulan Mei 2021 berada pada paras ketinggian baharu iaitu 111.6 mata indeks setelah mencatatkan peningkatan 11.9 peratus berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin, berkata, peningkatan ini didorong oleh peningkatan ketara dalam produk industri utama yang mendorong kepada lonjakan dalam indeks perlombongan (68.5%) dan pertanian, perhutanan dan perikanan (60.0%).

Di samping itu, indeks pembuatan yang dipengaruhi oleh kenaikan harga komoditi utama dan komoditi berkaitan pembinaan turut menunjukkan peningkatan signifikan (5.0%).

Indeks bagi sektor utiliti iaitu bekalan air dan bekalan elektrik & gas juga menunjukkan peningkatan masing-masing 1.5 peratus dan 0.1 peratus.

Jelas beliau lagi, bagi perbandingan bulanan, IHPR pengeluaran tempatan meningkat 1.0 peratus pada Mei 2021 berbanding 0.8 peratus pada bulan sebelumnya.

Peningkatan ini disokong oleh indeks perlombongan (2.1%), diikuti oleh pertanian, perhutanan, perikanan (2.0%), pembuatan (0.7%), bekalan elektrik & gas (0.7%) dan bekalan air (0.1%).”

Pada bulan Mei 2021, semua peringkat pemprosesan mencatatkan kenaikan harga.

Indeks bahan mentah untuk diproseskan selanjutnya meningkat 53.6 peratus.

Indeks bahan, perantaraan, bekalan & komponen juga meningkat 6.9 peratus.

Susulan kenaikan harga bahan mentah dan perantaraan yang lebih tinggi, indeks barang siap naik 0.2 peratus terutamanya melibatkan barang pengguna yang hasilnya akan dilihat dalam Indeks Harga Pengguna bulanan masa akan datang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast