Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, CP Datuk Seri Abd Jalil Hassan hadir pada sidang media khas di Maktab PDRM Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 30 JUN 2021.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam proses memperkasakan Bahagian S10 Makmal Forensik Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayahnya, Datuk Seri Abdul Jalil Hassan berkata, pihaknya telah melaksanakan beberapa perancangan strategik bagi memperkasakan D10 Forensik PDRM di negara ini.

Perkara berkenaan sentiasa dipantau dan sedang dikaji dari semasa ke semasa mengikuti perkembangan teknologi dan trend semasa jenayah, katanya.

“Kita ketahui umum bahawa penjenayah dan jenayah yang dilakukan pada masa kini tidak lagi melibatkan aktiviti jenayah secara fizikal tetapi ia boleh berlaku tanpa persentuhan fizikal iaitu secara alam maya.

“Mereka semakin bijak mengeksploitasikan perkembangan teknologi dengan penggunaan pelbagai peralatan elektronik untuk melindungi perlakuan jenayah mereka dan dikesan oleh pihak berkuasa.

“Kita sudah mengatur melaksanakan beberapa strategi untuk memantapkan D10 antaranya penggunaan teknologi 3D dalam rekonstruksi tempat kejadian dalam memantapkan siasatan saintifik serta kemahiran dan kompetensi perkhidmatan melalui kursus dan latihan dalam dan luar negara,” katanya dalam sidang media khas lawatan kerja ke D10 dan D13 di Maktab PDRM Kuala Lumpur hari ini.

Tambah Abdul Jalil, pihaknya juga memperkasakan Unit Siasatan Tempat Kejadian dengan permohonan perolehan 33 buah kenderaan baharu pacuan empat roda dilengkapi peralatan bantuan siasatan di tempat kejadian jenayah.

Menurutnya, Unit Digital Forensik juga akan diperkasakan sebagai peneraju utama dalam siasatan kes-kes jenayah siber.

Ujar Abdul Jalil lagi, terdapat projek perancangan menaik taraf makmal Pusat Forensik di Cheras dan mewujudkan 14 makmal Satelit Digital Forensik di setiap Kontinjen dan mewujudkan satu Makmal Forensik Siber Seksual di Bukit Aman.

“Bagi merealisasikan kesemua matlamat berkenan, sokongan dan pertimbangan daripada kerajaan amat diperlukan terutama sekali melibatkan pengurusan sumber manusia.

“Penambahan jawatan dan kekuatan pegawai dan anggota, peruntukan kewangan yang mencukupi akan memantapkanm keupayaan siasatan saintifik ke arah meningkatkan penyelesaian dan kadar pertuduhan serta pendakwaan di mahkamah,” ujarnya.

Ditanya mengenai keperluan seseorang pegawai dan anggota untuk bertugas di makmal forensik, katanya, daripada aspek pengambilan sumber manusia secara amnya kelayakan asas bagi pegawai kanan adalah melalui latihan asas kepolisan (kadet Inspektor).

Bagaimanapun katanya, keutamaan diberikan kepada calon yang memiliki kelulusan ijazah sarjana muda dalam bidang sains forensik, kimia, biologi, sains komputer, kejuruteraan dan lain lain yang berkaitan.

“Manakala bagi pengambilan pegawai rendah secara amnya memiliki Sijil Pelajaran Malaysia dan keutamaan diberikan kepada mereka yang berkemahiran atau berpengalaman dalam bidang sains forensik.

“Justeru pegawai forensik juga dihantar mengikuti kursus kemahiran bagi meningkatkan kemahiran peribadi serta keupayaan perkhidmatannya di dalam dan luar negara untuk mempelajari teknologi serta teknik terkini dalam bidang tugas masing-masing.

“Malah dalam forensik, unit siasatan balistik adalah satu-satunya unit yang mempunyai pangkalan data semua jenis senjata api, kelongsong peuru dan anak peluru di tempat kejadian dengan kes kes yang terdapat dalam pangkalan data balistik Malaysia (MyBID),” tegas beliau.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast