Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kaunter perkhidmatan percukaian di pejabat cawangan, pusat satelit dan Pusat Khidmat Hasil (PKH) Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) akan mula beroperasi secara temu janji pada 1 Julai 2021.

LHDN menerusi kenyataannya berkata, waktu operasi kaunter perkhidmatan percukaian ini mulai pukul 8 pagi sehingga 12 tengah hari, berdasarkan hari bekerja di setiap negeri.

Para pelanggan yang ingin hadir boleh membuat janji temu secara dalam talian (eJanji Temu) portal rasmi LHDNM di www.hasil.gov.my.

LHDN turut menasihatkan para pelanggan yang menghadiri janji temu untuk sentiasa mengemas kini status risiko Covid-19 masing-masing pada aplikasi MySejahtera dan mematuhi setiap prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan kerajaan bagi mengekang penularan wabak berkenaan. – MalaysiaGazette