Shahir Adnan

KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM) meminta kerajaan melakukan segera penambahbaikan agar pihak bank tidak mengambil kesempatan di atas pengumuman moratorium automatik ini.

Ia susulan terdapat bank yang bersetuju dengan moratorium enam bulan, tetapi memanjangkan tempoh bayaran pinjaman kepada 12 hingga 24 bulan dengan kadar faedah pinjaman.

”DPIM menyelar tindakan mengambil kesempatan di kala kesempitan yang dialami rakyat,” tegas ketuanya, Shahir Adnan dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata, rakyat tanpa mengira lapisan kini kian terhimpit dengan desakan hidup, termasuk golongan M40, terutama di bandar.

Golongan usahawan PKS juga turut memerlukan moratorium pinjaman kerana perniagaan terjejas.

”Lebih 600,000 isi rumah daripada golongan pendapatan M40 telah jatuh ke kategori B40 disebabkan krisis Covid-19 yang menjejaskan paras pendapatan penduduk Malaysia,” tambah beliau yang menyifatkan pakej PEMULIH yang diumumkan Perdana Menteri Isnin lalu sebagai menyeluruh untuk pelbagai lapisan rakyat yang terjejas dengan pandemik Covid-19.

Beliau berkata, berdasarkan kajian dan maklumat Jabatan Statistik, sekurangnya-kurangnya lapan peratus daripada 7.28 juta isi rumah yang dilaporkan mengalami kemerosotan pendapatan ke bawah paras pendapatan maksimum B40 iaitu RM4,850 sebulan.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, pengeluaran tambahan daripada simpanan rakyat sendiri melalui Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) iaitu i-Citra adalah bersesuaian agar sewa dapat dibayar dan makanan masih dapat disediakan di atas meja, walaupun tiada pendapatan dalam Fasa 1 yang makin mencabar.

Katanya, kemungkinan Fasa 1 akan lebih lama daripada 45 hari PKP penuh 1.0 tahun lepas dan DPIM yakin kerajaan berusaha meringankan beban rakyat dengan mengumumkan bantuan segera ini.

”Penambahbaikan mungkin diberikan pilihan untuk membuat pengeluaran secara sekali gus RM5,000 agar ianya boleh dijadikan modal perniagaan kecil-kecilan.

“Dengan bantuan ekonomi ini, kini semua pihak boleh menumpukan seluruh tenaga untuk kita melandaikan kes harian Covid-19 agar kita semua dapat keluar daripada pandemik ini dengan cepat,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast