Khairy Jamaluddin

KUALA LUMPUR – Seramai lebih 400 petugas Parlimen mula divaksin hari ini sebagai persediaan persidangan Dewan Negara dan Dewan Rakyat yang akan ditentukan tidak lama lagi.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, program pemberian vaksin ini dimulakan demi memastikan kakitangan Parlimen mendapat perlindungan daripada penularan Covid-19.

“Semua kakitangan termasuklah kakitangan Parlimen dan staf-staf yang terlibat dalam pencucian, katering dan sebagainya,” katanya ketika sidang media perkembangan Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) bersama Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba hari ini.

Jelasnya, program pemberian vaksin kepada kakitangan Parlimen telah bermula sejak 9 pagi tadi di beberapa Pusat Pemberian Vaksin (PPV) sekitar Kuala Lumpur.

Dalam masa yang sama katanya, staf Ahli Parlimen termasuklah pengiring juga layak menerima vaksin dalam masa terdekat.

Semalam, Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sekali lagi menzahirkan pandangan bahawa sidang Parlimen perlu diadakan secepat mungkin dengan mengikut garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 ditetapkan.

Baginda menzahirkan pandangannya selepas berkenan menerima menghadap Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim dan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun di Istana Negara.

Turut hadir, Timbalan Speaker Dewan Negara, Senator Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad serta Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman Said dan Datuk Mohd Rashid Hasnon.- MalaysiaGazette