Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan. Foto AFFAN FAUZI, 30 JUN 2021.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) memohon kerajaan mempertimbangkan semula cadangan mewajibkan pengambilan asid deoksiribonukleik (DNA) daripada bayi yang baharu dilahirkan untuk simpanan profil DNA.

Cadangan ini pernah ditolak pada tahun 2001.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Komisioner Datuk Seri Abdul Jalil Hassan berkata, cadangan itu penting dan perlu mengambil kira kepentingan masyarakat dan mangsa jenayah secara keseluruhannya demi pembelaan yang sewajarnya.

“Kita hendak maklumkan kepada masyarakat luar  betapa pentingnya DNA dalam penyiasatan kes jenayah di lapangan.

“Contoh kes yang berjaya diselesaikan Bahagian Databank DNA (D13) dengan padanan DNA adalah ‘cold case‘ (kes lama) berusia 20 tahun tanpa bukti dari Cheras pada 1999, yang mana suspek samun dan rogol berjaya dikenalpasti menerusi padanan DNA pada 2019.

“Dia kemudian berjaya dicekup selepas 20 tahun dan dijatuhkan hukuman. Mangsa akhirnya  mendapat pembelaan sewajarnya apabila tertuduh dijatuhkan hukuman dengan bukti padanan DNA yang tidak boleh dipertikaikan kesahihannya,” katanya di sini.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja ke bahagian Makmal Forensik (D10) dan Bahagian Databank DNA (D13) di Maktab Polid Diraja Malaysia Kuala Lumpur, di Cheras pagi tadi.’

Kes kedua pula membabitkan kes bunuh yang berlaku pada 1996 diterima dari sebuah negara maju menerusi Interpol yang menghantar sampel DNA pada botol air minuman.

PDRM menggunakan databank 160,000 profil DNA banduan dan penjenayah yang disimpan, akhirnya berjaya mengesan suspek bunuh itu di sini.

Suspek kemudian diserahkan kepada Interpol untuk dibicarakan dan akhirnya dijatuhkan hukuman selepas kes tersebut berlaku lebih 25 tahun itu,” katanya.

Menurutnya pencapaian D13 membantu menyelesaikan kes-kes tiada penyelesaian berusia lebih 20 tahun itu diiktiraf negara maju dan juga Interpol, lantaran itu sekarang adalah masa sesuai untuk cadangan mewajibkan sampel DNA dipertimbangkan semula oleh kerajaan.

Setakat 25 Jun 2001, PDRM  berjaya menyelesaikan sebanyak 131 kes jenayah menerusi padanan profil databank DNA.

“Atas dasar inilah kita mencadangkan kepada kerajaan untuk mewajibkan pengambilan dan penyimpanan DNA bayi selepas dilahirkan tetapi dibantah oleh pihak tertentu yang menyangkal atas alasan boleh disalahgunakan.

“Kita mahu angkat semula cadangan ini dan saya berharap pihak yang menyangkal cadangan ini supaya memikirkan semula tindakan mereka,” ujar Abdul Jalil. – MalaysiaGazette