KUALA LUMPUR – Fasa 1 dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang bermula Isnin lalu masih kekal memandangkan tiga indikator nilai ambang utama belum dicapai.
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, masih ramai keliru dan menganggap kerajaan telah beralih ke Fasa 2 PPN.
Menteri Kanan Keselamatan itu menegaskan, PKP 3.0 masih berada dalam Fasa 2 dan peralihan fasa dalam PPN tidak bergantung kepada satu-satu tarikh.
“Jika kita sudah mencapai tiga nilai ambang dalam tempoh singkat, maka peralihan fasa seterusnya akan dilaksanakan secepat mungkin.
“Saya berharap kita bersama-sama mematuhi SOP bagi melandaikan lengkuk kes Covid-19, sekali gus membolehkan ketiga-tiga indikator tersebut dicapai dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.
Mengenai pemantauan dan penguatkuasaan SOP Covid-19 di sektor perkilangan dan premis perniagaan, beliau berkata, secara kumulatifnya, pasukan Task Force Operasi Pematuhan telah melakukan sebanyak 96,975 pemeriksaan dan snap check di seluruh negara dengan jumlah kekuatan anggota seramai 21,026 orang.
Semalam, katanya, pasukan itu telah melakukan 1,867 pemeriksaan ke atas kilang dan 11,316 premis perniagaan.
Daripada jumlah itu, hanya satu premis diarahkan tutup kerana didapati melanggar arahan kerajaan dan SOP.
“Seperti yang diumumkan sebelum ini, kerajaan akan mempertingkatkan penguatkuasaan secara menyeluruh dari segi pemeriksaan ke atas kilang dan premis perniagaan kerana terlalu banyak pelanggaran arahan kerajaan dan SOP yang telah diwartakan,” katanya.
Sementara itu, kata Ismail Sabri, dalam Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai polis semalam, telah menahan seramai 600 individu melakukan pelbagai kesalahan ingkar SOP.
Daripada jumlah itu, menurut beliau, seramai 592 individu dikompaun, manakala lapan lagi direman.
Antara kesalahan ialah gagal merekodkan butiran diri atau daftar masuk premis seramai 136 individu, diikuti tiada penjarakan fizikal (125), rentas negeri/daerah tanpa kebenaran/makan/minum di premis (104), tidak memakai pelitup muka (96), tidak patuh arahan kawalan pergerakan (70), membawa penumpang berlebihan (30), premis gagal patuhi arahan (12) dan lain-lain (27). – MalaysiaGazette