foto AFFAN FAUZI, 26 JUN 2020

KUALA LUMPUR – Kerajaan Negeri Selangor memperkenalkan Skim Internet Selangor (SISM40) khusus kepada golongan M40  bermula esok, 1 Julai 2021.

Inisiatif ini pertama kali dilaksanakan dengan kerjasama Telekom Malaysia Berhad (TM), melalui perkhidmatan unifi.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerajaan negeri memperuntukkan subsidi Internet untuk skim ini.

“Kita semua maklum, pandemik Covid-19 yang telah melanda lebih daripada setahun, memberi kesan yang besar kepada pendapatan rakyat. Sebelum ini banyak inisiatif Kerajaan Negeri tertumpu kepada membantu golongan B40, namun kita juga sedar bahawa golongan M40 turut terkesan,”

“Oleh itu, Kerajaan Negeri telah bekerjasama dengan TM bagi memperkenalkan SISM40, sebagai usaha membantu rakyat Selangor menghadapi norma baharu dalam era digital,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menerusi SIS M-40 setiap isi rumah berpeluang menikmati subsidi antara RM10 hingga RM30 sebulan bagi tempoh setahun dengan melanggan satu daripada lapan pakej yang ditawarkan di bawah Pakej Keluarga, Pakej Bujang dan Pakej Asas.

Amirudin berkata, kerajaan negeri turut bekerjasama dengan 56 pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam usaha memastikan seramai mungkin mereka yang layak mendapat manfaat dari skim SIS M-40.

Orang ramai juga boleh mendapatkan maklumat lanjut berkenaan syarat kelayakan dan proses pendaftaran melalui laman sesawang https://www.sism40.com.my/ atau di talian bantuan 03-5030 4595/4596. – MalaysiaGazette