SHAH ALAM – Kerajaan Selangor menyediakan kira-kira 500,000 dos vaksin yang akan divaksinasikan kepada golongan sasar iaitu warga emas dan B40.
Menteri Besarnya, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, vaksin secara percuma itu digerakkan bawah program Vaksin Selangor Komuniti (Selvax).
Kata beliau, matlamat dan sasaran kerajaan negeri ialah untuk melindungi warga emas, golongan B40, penerima Inisiatif Peduli Rakyat seperti Skim Mesra Usia Emas, Kasih Ibu Smart Selangor dan Skim Peduli Sihat.
Kategori lain katanya, akan ditentukan kemudian berdasarkan keperluan.
“kita telah menyatakan hasrat untuk membeli vaksin ini sejak Januari lalu lagi. Tujuannya untuk memastikan imuniti kelompok dapat dicapai lebih awal.
“Usaha ini digerakkan oleh Selgate Healthcare hingga termeterai perjanjian pembekalan dan pengedaran (SDA) dengan Pharmaniaga Berhad iaitu pembekal tunggal Sinovac di Malaysia.
“Ini melahirkan program Selvax dengan jumlah 2.5 juta dos yang telah ditempah, dengan jangkaan 1.25 juta orang penerima vaksin di Selangor nanti,” katanya hari ini.
Amirudin berkata, pemberian vaksin di negeri itu akan dipergiatkan lagi sehingga mencapai kepada 135,000 orang sehari pada Julai ini dan meningkat 165,000 menjelang Ogos.
Mesyuarat Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) pada 15 Jun memutuskan tumpuan vaksin kepada golongan rentan seperti warga emas dan orang kurang upaya (OKU). – MalaysiaGazette