Sebanyak 10 pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksanakan mulai Sabtu ini meibatkan sebahagian besarnya di Sabah.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 10 pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksanakan mulai Sabtu ini meibatkan sebahagian besarnya di Sabah.

Menurut Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub, dua PKPD lagi dilaksanakan di Perak melibatkan kilang getah.

PKPD itu adalah PKPD Kilang Latexx Manufacturing Sdn Bhd dan Asrama Pekerja Latexx Village, Taiping, dan PKPD Asrama Pekerja Kilang Latexx 3, Jalan IKA Industri Kamunting Aman, Kamunting, di Perak.

“Kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di Kilang Latexx Manufacturing Sdn Bhd dan Asrama Pekerja Latexx Village, Taiping, Perak dan Asrama Pekerja Kilang Latexx 3, Jalan IKA Industri Kamunting Aman, Kamunting, Perak berkuat kuasa 3 Julai sehingga 16 Julai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

PKPD Kilang Latexx Manufacturing Sdn Bhd melibatkan 237 kes positif dan PKPD Asrama Pekerja Kilang Latexx 3 melibatkan 213 kes positif.

PKPD lain adalah PKPD Mukim Kuala Kuantan 1, Kuantan, Pahang melibatkan 369 kes positif dan PKPD Taman Mewah, Kelemak, Alor Gajah, Melaka dengan 55 kes positif.

Sabah merekodkan enam PKPD iaitu di Kampung Mangga, Nasip Kita dan Kampung Kijang, Balung di Tawau, Sabah dengan 24 kes positif, PKPD Taman Jaya Diri, Kota Kinabalu, Sabah 17 kes, PKPD Kampung Lingkodon, Kota Belud, Sabah 8 kes, PKPD Kampung Pintas Kubu, Beaufort, Sabah dengan 9 kes, PKPD Kampung Muhibbah, Putatan, Sabah dengan 12 kes dan PKPD Kampung Goshen, Kota Marudu dengan 13 kes.

Sementara itu dua PKPD dilanjutkan iaitu PKPD di sembilan Rumah Panjang Sungai Rassau, Batang Igan, Mukah, Sarawak yang akan dilanjutkan daripada 3 hingga 16 Julai depan, sementara PKPD Asrama Pekerja Warga Asing dan Kawasan Kilang Wah Cens Plastic Industries & Metal Sdn Bhd, Buloh Kasap, Segamat, Johor yang akan tamat esok turut dilanjutkan kepada tempoh sama.

Dalam pada itu, 549 individu ditahan atas kesalahan ingkar Prosedur Operasi Standard (SOP) dan daripada jumlah itu, seramai 535 individu dikompaun manakala 14 lagi direman.

Antara kesalahan direkodkan ialah rentas negeri/daerah tanpa kebenaran/makan/minum di premis (100), tiada penjarakan fizikal (98), individu gagal merekod butiran diri/daftar masuk premis (95), tidak patuh arahan kawalan pergerakan (94), tidak memakai pelitup muka (87), membawa penumpang berlebihan (42), premis gagal patuhi arahan (14) dan lain-lain (19).

Seramai 10 pendatang tanpa izin (PATI) ditahan dalam Operasi Benteng (Op Benteng) dengan enam buah kenderaan dirampas. – MalaysiaGazette