Sabah hari ini merekodkan satu kluster baharu COVID-19 disyaki berpunca daripada majlis pengebumian di Kampung Nahaba, Kota Belud pada 11 Jun lepas.- Gambar hiasan.

KOTA KINABALU – Sabah hari ini merekodkan satu kluster baharu COVID-19 disyaki berpunca daripada majlis pengebumian di Kampung Nahaba, Kota Belud pada 11 Jun lepas.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun berkata kluster baharu itu, Kluster Nahaba 2 Kota Belud membabitkan kes indeks lelaki berusia 57 tahun dan pengesanan secara aktif serta saringan terhadap 136 individu terdiri daripada ahli keluarga serta kontak rapat mengesan 26 lagi kes positif.

“Ia menjadikan jumlah kumulatif kes positif bagi kluster ini ialah 27 kes. Semua kes positif telah dirujuk ke hospital untuk rawatan lanjut dan pengasingan di Hospital Kota Belud, Hospital Queen Elizabeth dan PKRC (Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah) Kota Belud.

“Dalam pada itu, semua kontak rapat juga telah diarahkan kuarantin untuk pengasingan,” katanya dalam kenyataan di sini malam ini.

Masidi yang juga jurucakap kerajaan negeri berkaitan COVID-19 berkata Sabah hari ini merekodkan sebanyak 232 kes baharu COVID-19, menjadikan jumlah kumulatif wabak itu di negeri ini sebanyak 69,667 kes.

“Pesakit sembuh dibenarkan keluar hospital pula seramai 188 orang, menjadikan jumlah kumulatif 67,444 orang,” katanya.- BERNAMA