Saturday, May 4, 2024
Home Nasional Dasar 4IR Negara perkenalkan 4 teras utama

Dasar 4IR Negara perkenalkan 4 teras utama

KUALA LUMPUR – Kerajaan memperkenalkan Dasar Revolusi Perindustrian ke-4 (4IR) Negara dengan matlamat meningkatkan kesediaan negara dalam memanfaatkan potensi 4IR itu yang turut bertujuan mentransformasi Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi yang berpacukan teknologi dan pendigitalan.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, dasar itu digubal menggunakan pendekatan berpaksikan kemanusiaan supaya rakyat memanfaatkan teknologi di samping mengekalkan nilai kemanusiaan, sosial dan warisan budaya.

Jelas beliau, ia adalah selaras dengan matlamat Wawasan Kemakmuran Bersama bagi mencapai kesejahteran rakyat dan pertumbuhan ekonomi yang inklusif, seimbang dan mampan. I

Menurutnya, ia juga bagi meningkatkan faedah sosioekonomi dan memastikan risiko yang wujud daripada kemajuan 4IR dapat dikurangkan.

“Dasar 4IR Negara mengandungi empat teras utama untuk masyarakat, perniagaan dan kerajaan di mana yang pertama pertama, melengkapkan rakyat dengan pengetahuan dan set kemahiran berkaitan 4IR.

“Kedua membentuk negara yang mempunyai kesalinghubungan melalui pembangunan infrastruktur digital.

“Ketiga, menyediakan peraturan yang sesuai dengan keperluan masa hadapan supaya disesuaikan dengan perubahan teknologi dan keempat, mempercepat inovasi dan penerimagunaan teknologi 4IR,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Dasar 4IR Negara secara maya bersama Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Khairy Jamaluddin secara maya di sini hari ini.

Mustapa berkata, keempat-empat teras dasar itu akan menjadi panduan kepada kementerian dan agensi dalam merangka program berkaitan 4IR.

Tambah beliau, teras ini akan dilaksana berpandukan 16 strategi, 32 inisiatif nasional dan 60 inisiatif sektoral yang telah dikenal pasti.

“Bagi mengurangkan potensi risiko berkaitan sosial yang wujud daripada 4IR, elemen kepercayaan, inklusiviti, keselamatan siber, etika dan nilai akan diterapkan dalam
semua inisiatif,” katanya.

Sementara itu, Khairy berkata, kerajaan telah mengenal pasti lima teknologi teras untuk membina keupayaan tempatan.

Ujar beliau, ia melibatkan kecerdasan buatan (AI), Internet of Things (IoT), blockchain dan teknologi lejar teragih (DLT), bahan termaju dan disokong oleh pengkomputeran awan (cloud computing) dan analisis data raya (BDA).
“Seperti mana yang telah dapat kita lihat pada hari ini, kesemua lima teknologi teras ini sememangnya telah memberi kesan kepada kehidupan seharian dan cara kita melakukan sesuatu perkara.
“Baik melalui big data analytics, AI, cloud computingblockchain mahupun IoT, kesemuanya telah membantu manusia daripada segi perancangan, pelaksanaan mahupun keputusan.
“Walaupun Malaysia bukanlah negara yang paling terkehadapan dalam pengadaptasian teknologi, namun Malaysia juga bukanlah negara yang terkebelakang,” katanya.
Menurut Khairy, dasar berkenaan dilihat sebagai komitmen kerajaan untuk mempersiapkan masyarakat dan perniagaan menghadapi cabaran dan memanfaatkan peluang yang wujud daripada revolusi perindustrian.
“Bagi meningkatkan kadar pengunaan teknologi 4IR yang bersifat disruptif, pendekatan ‘future by design’ seperti venture builder perlu digunakan dengan pembangunan ekosistem yang kondusif dan inklusif.
“Ia merangkumi rantaian bekalan dan nilai untuk membolehkan pihak industri mencipta produk-produk bernilai tinggi yang bersesuaian dengan kehendak pasaran tempatan dan global.
“Melalui pendekatan quadruple helix pula, pelbagai peluang baharu yang memacu ke arah keseimbangan sosio-ekonomi yang mampan,” jelas Khairy lagi.
MOSTI katanya, sentiasa menyokong usaha untuk menjadikan Malaysia sebagai negara berpendapatan tinggi melalui pembangunan teknologi sekali gus melengkapi Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (2021-2030). – MalaysiaGazette