GEORGE TOWN – Kerajaan Pulau Pinang sedang menimbang beberapa pilihan untuk mengadakan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan akan membuat keputusan pada mesyuarat Exco akan datang.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, antara pilihan itu ialah mengadakan persidangan DUN khas sebelum 1 Ogos di bawah peruntukan Ordinan Darurat selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
“… mengadakan sidang khas DUN pada bulan Ogos apabila Ordinan Darurat ditamatkan tanpa memerlukan notis 28 hari, atau sidang DUN dengan pembukaan rasmi oleh Yang Dipertua Negeri pada Ogos atau September tertakluk kepada notis 28 hari,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Yang Dipertua DUN Pulau Pinang, Datuk Law Choo Kiang ketika dihubungi, berkata pihaknya telah bersedia untuk mengadakan persidangan pada bila-bila masa.
“Sama ada persidangan akan diadakan secara hibrid atau fizikal bergantung pada keadaan pandemik COVID-19 serta nasihat Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya.
Pada 23 April lepas, Law membuat permohonan secara bertulis kepada MKN dan Jabatan Perdana Menteri untuk mengadakan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat DUN Pulau Pinang ke-14 dalam tempoh penguatkuasaan darurat, namun ditolak berikutan kes COVID-19 di seluruh negara masih pada tahap membimbangkan.