Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM), Persatuan Takaful Malaysia (MTA) dan Persatuan Insurans Am Malaysia (​PIAM) meminta pemegang polisi atau sijil untuk mengemukakan tuntutan mereka berkaitan ujian saringan COVID-19 di bawah Tabung Saringan COVID-19 (CTF).- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM), Persatuan Takaful Malaysia (MTA) dan Persatuan Insurans Am Malaysia (​PIAM) meminta pemegang polisi atau sijil untuk mengemukakan tuntutan mereka berkaitan ujian saringan COVID-19 di bawah Tabung Saringan COVID-19 (CTF).

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan tiga persatuan itu berkata pemohon yang telah melakukan ujian saringan pada atau sebelum 31 Mei 2021 boleh mengemukakan permohonan mereka melalui laman web MyCTF di www.myctf.my pada 15 Julai 2021.

“CTF bernilai RM10 juta ditutup secara rasmi pada 21 Mei, 2021 seperti yang diumumkan di laman web LIAM, PIAM dan MTA.

“Namun, industri insurans dan takaful telah memutuskan untuk mempertimbangkan rayuan untuk ujian yang dilakukan pada atau sebelum 31 Mei, 2021 dan pembayaran balik itu tertakluk kepada pemohon memenuhi kriteria kelayakan ditetapkan CTP berdasarkan kes demi kes,” katanya.

Ia berkata kelulusan permohonan daripada pemegang polisi atau sijil adalah atas budi bicara CTP dan pemohon akan diberitahu jika rayuan mereka diluluskan oleh CTP.

Sementara itu, Program Bantuan COVID-19 mengenai penangguhan premium atau sumbangan sehingga tiga bulan telah dilanjutkan hingga akhir tahun 2021 untuk pemegang polisi atau sijil yang terjejas akibat pandemik COVID-19 serta bantuan tunai, kemasukan ke hospital dan faedah kematian bagi pelanggan yang dijangkiti COVID-19.

“Dari April hingga Disember 2021, syarikat insurans hayat dan pengendali takaful keluarga telah berikrar untuk menyediakan tambahan dana baharu bagi membantu pemegang polisi/sijil dalam bentuk bantuan perubatan untuk rawatan COVID-19 di hospital kerajaan atau swasta serta kesan sampingan suntukan vaksin yang serius di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan,” katanya.

CTF yang dilancarkan pada bulan Mac tahun lalu hingga kini telah memberi manfaat kepada lebih daripada 65,000 pemohon.- BERNAMA