Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

KUALA LUMPUR – Kes perbicaraan melibatkan peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, yang berdepan dua pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM9.5 juta ditangguhkan dan dijangka bersambung pada 22 Julai ini.

Perbicaraan hari ketiga yang sepatutnya bersambung hari ini terpaksa ditangguhkan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Sebelum ini Hakim Mahkamah Tinggi, Muhammad Jamil Hussin menetapkan 1 Julai untuk menyambung perbicaraan namun berikutan PKP masih lagi bersambung prosiding akan dilakukan pada 22 Julai dan 23 Julai ini.

Muhammad Shafee yang didakwa menerima wang haram sebanyak RM9.5 juta daripada Datuk Seri Najib Tun Razak turut berdepan dua pertuduhan membuat kenyataan palsu kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Setakat ini, tiga saksi memberi keterangan dalam perbicaraan yang bermula pada 21 Mei lalu.

Pada 13 September 2018, Muhammad Shafee mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menerima wang hasil kegiatan haram berjumlah RM9.5 juta melalui dua cek yang dikeluarkan oleh Najib dan dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank Berhad miliknya.

Selain itu, Muhammad Shafee yang juga peguam Najib dalam beberapa kesn turut  berdepan dua pertuduhan terlibat dalam transaksi hasil daripada aktiviti haram.

Antaranya mengemukakan penyata tidak betul dan bertentangan dengan perenggan 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Disember 2013 dan 31 Disember 2014. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast