Dr Luqman Abdullah

KUALA LUMPUR – Mufti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Datuk Dr. Luqman Abdullah menyeru orang ramai mengamalkan sikap ambil peduli, cakna dan saling membantu individu kurang bernasib baik, terutama yang berada berhampiran.

Katanya, Islam telah mensyariatkan kepada umatnya agar bersikap tolong menolong dalam urusan kebaikan.

Pada masa sama, beliau berharap aspek keagamaan sentiasa mendapat perhatian kerajaan dalam usaha menangani peningkatan kes bunuh diri ketika ini.

“Dalam konteks kesihatan mental, bantuan merangkumi pelbagai aspek, termasuk mendengar luahan, memahami keluh kesah, menyumbang idea dan buah fikiran, memberikan kata perangsang, menuturkan kata yang baik, mendoakan kesejahteraan mereka dan seumpamanya.

“Ini kerana masyarakat kini tercari-cari ruang bagi mententeramkan jiwa mereka setelah terkesan akibat pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya dalam kenyataan, di sini, semalam.

Katanya, sejak akhir-akhir ini, media kerap melaporkan kejadian bunuh diri yang berlaku dalam negara dan trend peningkatan kes itu merupakan suatu yang amat membimbangkan serta perlu ditangani sebaiknya.

Secara realitinya, aspek emosi dan kesihatan mental individu yang terjejas boleh menyebabkan kecelaruan dalam berfikir seterusnya mendorong perilaku yang bercanggah dengan syarak.

“Bahkan, Yang di-Pertuan Agong dalam titah baginda sebelum ini juga menzahirkan harapan agar proses pemulihan segera dilaksanakan demi memastikan kesejahteraan hidup rakyat sentiasa terjamin,” katanya.

Oleh itu, kata Dr. Luqman, pembukaan masjid dan surau secara berperingkat sejurus keberkesanan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) antara langkah terbaik bagi memulihkan semula aspek kesihatan mental dalam kalangan rakyat.

Beliau juga menyarankan umat Islam yang menjalani ibadah korban pada Hari Raya Aidiladha ini mengagihkan daging korban kepada keluarga, jiran tetangga, sahabat handai dan kenalan yang ditimpa kesusahan dengan mematuhi ketetapan SOP semasa.

Pemberian itu, menurutnya, serba sedikit dapat mengurangkan bebanan dihadapi oleh mereka.

“Semoga Allah mengurniakan perlindungan, keselamatan dan kesejahteraan kepada kita semua sepanjang menghadapi musibah Covid-19 ini dan mudah-mudahan wabak ini akan berakhir dengan segera,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast