Liridon Krasniqi.

KUALA LUMPUR – Pemain naturalisasi negara, Liridon Krasniqi mengesahkan beliau kini bukan lagi pemain Newcastle Jets apabila tempoh pinjaman bersama kelab Australia itu sudah tamat pada 30 Jun 2021.

Liridon menyertai kelab itu dari JDT pada 5 Februari lalu bersama seorang lagi pemain dari Indonesia, Syahrian Abimanyu.

Bagaimanapun, bekas pemain Kedah itu mempunyai lebih banyak minit permainan bersama Newcastle Jets berbanding Abimanyu.

Selepas ini, dia akan terus beraksi di luar negara apabila pemilik JDT,  Tunku Ismail mengesahkan Liridon akan dipinjamkan ke kelab Liga Thailand.

Namun begitu, TMJ tidak dedahkan kelab mana yang akan disertai oleh Liridon Krasniqi dan kemungkinan kelab tersebut beraksi dalam saingan Thai League 1. Selain Liridon, dua lagi pemain Malaysia turut beraksi di sana iaitu Junior Eldstal (Chonburi FC) dan Dominic Tan (Police Tero). – MalaysiaGazette