Peniaga Azhar Ahmad, 46 (kiri) membawa perkakas berniaga menaiki lif ketika tinjaun lensa Malaysia Gazette mengenai persediaan PKPD yang akan berkuatkuasa mulai 3 Julai sehingga 16 Julai di PPR Kerinchi, Kuala Lumpur. Foto HAFIZ SOHAIMI, 02 JULAI 2021.

KUALA LUMPUR – Kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi kelihatan tenang walaupun bakal menjadi salah satu kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai esok.

Biarpun bakal ‘terkurung’ sepanjang PKPD, rata-rata penduduk PPR itu menyambut baik langkah yang diambil untuk mengawal penularan Covid-19 di situ.

Azhar Ahmad

Seorang peniaga, Azhar Ahmad, 46, berkata, walaupun tidak akan dapat berniaga beberapa minggu, dia yakin langkah itu adalah terbaik pada waktu ini.

Azhar berkata, walaupun tahu kawasan itu akan menjalani PKPD, dia tidak melakukan pembelian panik, sebaliknya persediaan barang dapur untuknya enam beranak dibuat dengan sekadar yang mampu.

Ini kerana dia yakin bakul makanan akan diagihkan kepada penduduk di kawasan itu nanti.

“Pada saya kita ikut sajalah apa yang dilakukan oleh kerajaan sebab perkara ini pun untuk menurunkan kes Covid-19, ikut sajalah yang terbaik.

“Persediaan saya macam biasa saja sebab setahu saya pihak tertentu akan salurkan bantuan jadi saya tidak adalah nak beli barang keperluan terlalu banyak. Bukan saya saja bahkan penduduk lain turut mengharapkan bantuan makanan disediakan nanti,” katanya.

Untuk rekod, kerajaan memutuskan untuk melaksanakan PKPD di lapan daerah dalam Selangor yang membabitkan 34 buah mukim.

Arahan tersebut berkuat kuasa 3 hingga 16 Julai 2021.

Hashim Omar

Berbeza pula dengan seorang penduduk, Hashim Omar, 58, yang telah siap sedia bagi memastikan keperluan barangan asas cukup sejak awal pagi tadi.

Namun, katanya, barangan yang dibeli hanya betul-betul untuk keperluan keluarganya sahaja.

Menurutnya, dia dimaklumkan kedai runcit di dalam kawasan PPR itu juga masih dibenarkan beroperasi ketika PKPD, justeru tidak ada masalah untuk penduduk di situ mendapatkan bekalan harian.

“Sya dah sediakan untuk seminggu dua minggu barang keperluan dapur seperti ikan, ayam. Kedai di dalam kawasan ini akan buka lagi jadi untuk membeli barang keperluan tu tidak ada masalah,” ujarnya.

Hashim berharap dengan pelaksanaan PKP di PPR Kerinchi selama dua minggu itu dapat kes Covid-19.

Jasvender Kaur

Dalam pada itu, Jasvender Kaur, 39, pula risau pendapatan isi rumahnya terjejas akibat PKPD, namun dia tiada pilihan ekoran peningkatan kes Covid-19 memerlukan pelaksanaan PKPD di kawasan itu.

”Saya memang bimbang dengan PKPD di sini pasal kalau tidak kerja susah nak makan, saya ada keluarga. Sebab itu saya harap dengan PKPD ini kes menurun dan kerja saya tidak terganggu lagi.

“Untuk persediaan esok, saya sekadar beli barang keperluan asas sahaja, tidak boleh beli banyak sangat,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast