Timbalan Menteri Sumber manusia, Datuk Awang Hashim ketika melakukan pemeriksaan di salah sebuah kilang dekat Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Majikan tidak membenarkan bekerja dari rumah (BDR) antara aduan tertinggi yang diterima menerusi aplikasi Working For Workers (WFW) yang dilancarkan awal Mei lalu.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim berkata, ia mencatatkan sebanyak 1,878 kes dan setakat hari ini pihaknya telah menerima 4,267 aduan melibatkan pelbagai isu berkaitan buruh.

Selain itu, sebanyak 1,013 kes aduan berkaitan dengan gaji yang tidak dibayar atau pembayaran gaji lewat direkodkan, katanya.

“Antara isu lain yang kami terima dengan aduan tertinggi adalah berkaitan dengan isu pemburuhan ialah pemotongan upah tidak mengikut undang-undang yang melibatkan 308 kes.

“Manakala sebanyak 3,379 aduan yang diterima telah diambil tindakan selanjutnya termasuk tindakan perundangan manakala 164 kes sedang menunggu verifikasi.

“Setelah siasatan dijalankan, ia bukan semua majikan tidak membenarkan bekerja dari rumah tetapi majikan tidak mengikut syarat ditetapkan ialah 60 peratus bekerja di tempat kerja atau kilang manakala selebihnya bekerja dari rumah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengetuai Operasi Pematuhan Akta 446 dan prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara di sebuah kilang elektronik dan sebuah asrama pekerja asing di Kawasan Perindustrian Dewani di sini hari ini.

Operasi berkenaan melibatkan Jabatan Tenaga Kerja (JTK), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kesihatan Negeri Johor dan Jabatan Imigresen.

Mengulas lanjut, Awang berkata, setelah semakan dibuat, banyak kes seperti gaji tidak dibayar oleh majikan.

Selain, katanya, upah kerja lebih masa turut dipotong sedangkan kerajaan telah memberi insentif besar untuk membantu majikan meringankan beban mereka ketika menghadapi pandemik Covid-19.

“Daripada keseluruhan aduan yang kita terima sejak Mei, 616 kes masih menunggu pemeriksaan dijalankan manakala 108 kes lagi sedang dalam proses mendapatkan pengesahan.

“Kita juga banyak mendapat aduan tentang pekerja yang dibuang kerja tanpa notis iaitu melibatkan 263 kes dengan tiada bayaran lebih masa dan faedah pemberhentian adalah sebanyak 254 kes,” katanya lagi.

Beliau berkata, kementerian turut menerima sebanyak 107 aduan berkaitan majikan tidak mematuhi upah minimum iaitu 81 kes berkaitan tiada kontrak pekerjaan dan 66 kes tiada cuti tahunan.

“Selangor mencatatkan aduan tertinggi iaitu sebanyak 1,451 kes diikuti Kuala Lumpur sebanyak 1,007 kes dan Johor dengan 539 kes.

“Sebenarnya aplikasi WFW membolehkan pekerja termasuk warga asing melaporkan 14 jenis aduan dan permasalahan berkaitan isu perburuhan secara dalam talian yang dikendalikan 80 Pejabat Tenaga Kerja di seluruh negara,” katanya.

Sehingga kini sebanyak 20,371 majikan dan 109,809 buah penginapan di seluruh negara telah diperiksa dan diambil tindakan di bawah akta-akta di bawah bidang kuasa kementerian berkenaan.-MalaysiaGazette