Tengku Zafrul Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Negeri Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak dan Perlis yang beralih ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuatkuasa Isnin ini telah memenuhi kesemua nilai ambang dan ia lebih adil, kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Menurut Zafrul, keputusan itu dibuat selepas kelima-lima negeri berkenaan mencapai tiga indikator yang ditetapkan oleh kerajaan.

Katanya, kesemua negeri itu mencatatkan liputan vaksin lengkap melebihi 10 peratus selain kapasiti katil Unit Rawatan Rapi (ICU) bagi menyediakan rawatan kepada pesakit Covid-19 turut merekodkan penyusutan daripada paras kritikal ke peringkat sederhana.

“Selepas kerajaan bersetuju meluluskan peralihan fasa PPN dibuat di peringkat negeri tanpa menunggu kemajuan di peringkat Persekutuan terdapat semakan tertentu terhadap nilai ambang yang dilakukan.

Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara

“Dua nilai ambang iaitu liputan vaksin dan katil ICU masih sama seperti digunakan di peringkat Persekutuan cuma yang berubah adalah kadar purata kes Covid-19.

“Perkiraan digunakan bagi mengukur kadar purata kes di peringkat negeri iaitu nilai ambang fasa berikutnya didarab jumlah penduduk negeri dan dibahagi populasi di Malaysia.

“Oleh itu, menerusi perkiraan ini dan pertimbangan terhadap dua lagi nilai ambang, kita dapati lima negeri sudah memenuhi semua prasyarat untuk beralih ke Fasa 2 PPN,” katanya dalam sidang media bersama Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Putrajaya hari ini.

Mengulas lanjut, Zafrul berkata, berdasarkan perangkaan semasa dari 1 Jun hingga 1 Julai, kebanyakan negeri merekodkan penyusutan mendadak purata kes Covid-19 dengan Terengganu mencatatkan kadar perubahan terbesar iaitu 86.1 peratus.

Beliau berkata, perubahan positif itu turut dilihat berlaku di Kelantan yang menunjukkan pengurangan purata kes Covid-19 bagi tempoh sama sebanyak 83 peratus, Perlis (75 peratus), Pulau Pinang (57.4 peratus), Kedah (53.3 peratus), Johor (48.4 peratus) dan Putrajaya (40.5 peratus).

Tambah Zafrul, keputusan untuk membenarkan peralihan mengikut peringkat negeri itu diharap dapat menjadi insentif serta galakan ke arah membasmi penularan pandemik Covid-19.

Katanya lagi, PPN telah menghasilkan perkembangan positif di kebanyakan negeri terutamanya dari segi penurunan kes harian.

“Secara keseluruhan, penggunaan nilai ambang di peringkat negeri memberi garis panduan jelas kepada setiap negeri dalam menangani Covid-19 untuk beralih ke fasa yang seterusnya,” ujarnya.

Sementara itu, ketika disoal sama ada peningkatan kes purata Covid-19 dan penyusutan kapasiti katil ICU bakal mengubah fasa sesebuah negeri, Zafrul berkata, perkara itu akan dibincangkan secara lebih lanjut menerusi Sidang Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Perkara ini akan dibentangkan terlebih dahulu dalam Jawatankuasa Teknikal MKN sebelum dibawa ke peringkat Sidang Khas MKN, di situ kita akan buat keputusan sebelum membuat pengumuman,” katanya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Lima negeri beralih ke Fasa 2 PPN mulai Isnin ini