KUALA LUMPUR – Kesatuan Kebangsaan Anak-Anak Kapal Kabin Penerbangan Malaysia (NUFAM) menggesa kerajaan menyegerakan pengeluaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memandangkan keadaan semakin mendesak.
Sekretariatnya berkata, pihaknya menerima banyak rungutan kerana ada pemohon yang masih menunggu jawapan untuk mendapatkan Bantuan Prihatin Nasional (BPN) dan Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) setelah permohonan mereka ditolak.
Lebih menyedihkan pertanyaan yang dikemukakan menerusi emel dan panggilan telefon tidak dibalas dan dijawab oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Katanya, memandangkan ramai pekerja yang terjejas kerana hilang pendapatan, maka pengeluaran KWSP perlu disegerakan.
”Ramai antara kru penerbangan telah membuka perniagaan tapi tidak mendapat apa-apa hasil sejak beberapa bulan lalu atas sebab Perintah Kawalan Pergerakan yang telah dilaksanakan oleh kerajaan. Jadi macam mereka nak cari makan?
”Ada yang tidak buka gerai kerana tidak mampu membeli barang keperluan,” katanya dalam kenyataan di sini.
Ramai juga dalam kalangan mereka ini mempunyai hutang tertunggak untuk membayar bil bil keperluan.
“Soalnya macam mana nak selesai kalau bantuan lambat,” tambahnya yang mendakwa pelaksanaan PKPD di kawasan Selangor dan Kuala Lumpur menyebabkan ramai yang tidak boleh berniaga untuk kelangsungan hidup.
Katanya, apabila ramai kru penerbangan yang tidak ada kerja dan hilang pendapatan akibat pandemik, kegelisahan mereka sepatutnya ditangani segara oleh kerajaan.
NUFAM berkata, pihaknya menerima banyak pertanyaan mengenai bantuan-bantuan kerajaan yang diumumkan tetapi apabila tiada ketetapan tarikh maka ia menimbulkan banyak persoalan.
“Hakikatnya mereka ini sudah tidak mampu menunggu walaupun untuk sebulan.
“Malah timbul persoalan mengapa kena tunggu sebulan lagi?,” soal NUFAM.
Dengan pengalaman pengeluaran i-Lestari dan i-Sinar, KWSP sepatutnya menggunakan aplikasi sedia ada bagi memudahkan orang ramai membuat permohonan.
”Apa rasionalnya tukar nama, tukar aplikasi lain?
”Jika terlampau banyak sangat birokarsi ini, mungkin ramai akan kebuluran,” tambahnya. – MalaysiaGazette