Mohd Azmi Abdul Hamid
Mohd Azmi Abdul Hamid

KUALA LUMPUR – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menggesa kerajaan dan seluruh wakil rakyat agar tidak membiarkan rakyat mengeluh secara berterusan.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, ketika ini keresahan rakyat diluahkan menerusi laman sosial dengan merujuk kepada kejadian bunuh diri dan mengibarkan bendera putih.

Malah, angka semasa mengenai jangkitan harian Covid-19 yang tidak menunjukkan tanda penurunan selain angka kematian setiap hari dan kes jangkitan aktif juga meningkat termasuk mereka yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi tidak boleh ditunggu lagi.

“Secara zahir, sememangnya rakyat sedang menderita bila ramai terpaksa mencari jalan keluar drastik untuk mencari pendapatan menampung keperluan seharian. Fenomena terputus bekalan makanan nampaknya real. Sedang simpanan kewangan semakin menipis.

“Kami mendapati kategori M40 dan B40 bergabung sehingga menggelembungkan angka mereka yang bergantung kepada bantuan.

“Polemik menggantung bendera putih, mendesak diperbesar dan dipanjangkan moratorium tanpa faedah, kos perbelanjaan harian yang tinggi, menyegerakan operasi vaksin dan membantu mereka yang kehilangan punca pendapatan adalah antara isu dan kerungsingan rakyat yang sedang dihadapi setiap hari,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mohd Azmi berkata, rakyat mengeluh, sementara pihak berkuasa mengambil tindakan tegas mengkompaun kesalahan melanggar SOP yang ternyata telah menyebabkan kehidupan rakyat bertambah terhimpit selain terpaksa menghadapi tekanan ekonomi yang semakin berat.

Katanya, ketakutan menghadapi penguat kuasa dan terdesak mencari pendapatan menyebabkan mereka benar-benar tersepit hingga ada dalam kalangan orang biasa hilang punca untuk menyelenggara dan bertahan dalam kehidupan menampung keperluan asas.

“Sementara kerajaan mengumumkan pelbagai skim bantuan, namun isu pokok iaitu meneruskan pekerjaan untuk memperolehi pendapatan yang stabil nampaknya tidak ditangani.

“Tahap perbelanjaan isi rumah turut terjejas apabila kos makanan meningkat, manakala banyak yang terperangkap bila tidak mampu membayar sewa dan bayaran ansuran kereta serta bil elektrik dan air,” tegasnya.

Mohd Azmi berkata, pihaknya menyarankan kerajaan mencari jalan lain dengan memberi peluang dan ruang rakyat bawahan untuk mencari nafkah hidup seharian.

Sayangnya apa yang berlaku akibat PKP, ialah pekerjaan sedia ada jatuh menjunam dan peluang pekerjaan baharu sangat berkurangan dan hampir tidak ada, ujarnya.

Katanya lagi, Mapim tidak dapat menerima kaedah membuka ruang untuk rakyat menambahkan hutang kerana ia bukan cara untuk meringankan beban kehidupan rakyat sebaliknya, pihak kerajaan yang membuka peluang mudah untuk berhutang kepada pihak peminjam swasta tidak wajar.

Sepatutnya kata beliau, yang perlu dilaksanakan ialah memberi rakyat peluang melaksana perniagaan dan melanjutkan pekerjaan dan PKP perlu ada skima yang jelas untuk membuka peluang perniagaan kecilan dengan seluas mungkin.

“Pihak berkuasa yang memburu mereka yang tidak mematuhi PKP seharusnya memudahkan komuniti untuk “mencari makan”.

“Petanda memulihkan situasi masih tidak kelihatan. Mereka yang hilang pekerjaan tidak dapat kembali diambil semula. Mereka yang bekerja sendiri sebagai usahawan terputus pendapatan dan terpaksa menghentikan operasi.Ini menjejaskan ramai yang terlibat dalam rantaian bisnes yang berkaitan,” tambahnya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Rakyat mengeluh dengan kadar tinggi ingkar SOP masih degil rebak jangkitan pandemik termasuk VIPs.

Comments are closed.