Pegawai Kesihatan Timur Laut, Amier Othsman memasang tali pita bagi menghalang orang awam memasuki kawasan Pasar Lebuh Macallum, Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Pasar Borong Pulau Mutiara Gat, Lebuh Macallum di sini ditutup serta merta susulan lima peniaga disahkan positif Covid-19.

Penutupan berkenaan membabitkan sebanyak 41 gerai berkuatkuasa hari ini sehingga ke satu tarikh yang akan diumumkan kelak.

Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dalam satu kenyataan berkata, penghadang sudah dipasang di semua lorong pasar berkenaan bagi membolehkan kerja sanitasi dan disinfeksi dijalankan.

Pegawai Kesihatan Timur Laut, Amier Othsman melekatkan notis penutupan di Pasar Borong Lebuh Macallum di sini hari ini.

“Individu yang berstatus risiko tinggi dalam aplikasi MySejahtera dilarang masuk ke dalam premis pasar dan kompleks makanan.

“Tindakan penguatkuasaan termasuk penutupan premis akan dibuat sekiranya ada pelanggaran prosedur operasi standard (SOP).

“MBPP turut menasihati persatuan di semua pasar dan kompleks makanan supaya memastikan kawalan pengunjung dilaksanakan dengan baik pada setiap masa,” katanya  hari ini.

Pasar Borong Lebuh Macallum ditutup susulan peniaganya positif Covid-19.

Sementara itu, tinjauan mendapati premis berkenaan sudah dikosongkan dan dipantau pihak berkuasa tempatan (PBT) termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Turut hadir Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Yew Tung Seang dan Ahli Dewan Undangan Negeri Pangkalan Kota Danial Gooi. – MalaysiaGazette