Tukang Pembersih Sekolah, Muttamah Govindasamy, 59 bergambar selepas ditemuramah oleh wartawan Malaysia Gazzete di sebuah sekolah di Selangor. Foto HAFIZ SOHAIMI, 01 JULAI 2021.

KUALA LUMPUR – Kira-kira 50,000 pekerja pembersihan bangunan dan kawasan sekolah di seluruh negara boleh menarik nafas lega apabila Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memberi jaminan pembayaran kepada kontraktor perkhidmatan Kebersihan Bangunan dan Kawasan (KBK) akan dibuat sepenuhnya sebagaimana yang dinyatakan dalam kontrak.

Menurutnya, oleh itu, tidak timbul isu kontraktor perlu memotong gaji pekerja KBK.

”KPM yakin inisiatif ini dapat membantu meringankan beban kewangan penyedia perkhidmatan di institusi bawah KPM serta pekerja terlibat yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

”KPM sentiasa komited untuk terus melakukan yang terbaik,” kata KPM dalam kenyataan di sini hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas Setiausaha Kerja Gabungan Persatuan Kontraktor KBK Malaysia, Daniel Iskandar Abdullah memohon pembayaran kontrak semasa PKP 3.0 dibayar 100 peratus kepada semua kontraktor.

Dengan pembayaran ia akan memberi manfaat kepada pekerja daripada B40 dan 900 kontraktor pembersihan terbabit.

Dalam pertemuan dengan MalaysiaGazette baru-baru ini, Daniel mendakwa, prosedur operasi standard (SOP) yang berbeza-beza menyebabkan mereka terpaksa bertugas secara bergilir-gilir dengan kehadiran 60 peratus sahaja.

Beliau berkata, SOP itu jelas bertentangan dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang membenarkan sektor pembersihan beroperasi sepenuhnya sepanjang tempoh PKP 3.0.

“Kesemua pekerja pembersihan ini dalam kalangan berpendapatan rendah (B40). Mereka menerima bayaran RM1,200 sebulan, jika SOP 60 diteruskan, mereka hanya menerima gaji purata RM720.

“Ia disebabkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) terpaksa menghadkan jumlah kehadiran pekerja sebanyak 60 peratus bagi semua sekolah di seluruh Malaysia.

“Peraturan baharu ini memberi kesan kepada sehingga 900 kontraktor yang akan dipotong bayaran kontrak sebanyak 40 peratus,” katanya. – MalaysiaGazette

50,000 pekerja pembersihan berdepan hilang gaji hingga 40 peratus