Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai polis menahan 691 individu yang didapati melakukan pelbagai kesalahan ingkar SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, selepas siasatan, 651 daripadanya dikenakan kompaun, 38 direman dan dua lagi dijamin.

Antara kesalahan direkodkan ialah 189 kes rentas negeri, daerah tanpa kebenaran termasuk makan, minum di premis, 133 kes tiada penjarakan fizikal, 91 tidak memakai pelitup muka, 78 individu gagal merekod butiran diri, daftar masuk premis, 63 tidak patuh arahan kawalan pergerakan.

Kesalahan lain yang direkodkan ialah membawa penumpang berlebihan sebanyak 49 kes, premis gagal patuhi arahan (21 kes), aktiviti pusat hiburan (enam kes) dan lain-lain (61 kes).

“Kerajaan juga akan mempertingkatkan penguatkuasaan secara menyeluruh dari segi pemeriksaan ke atas kilang dan premis perniagaan kerana terlalu banyak pelanggaran arahan kerajaan dan SOP yang telah diwartakan.

“Secara kumulatifnya, pasukan Task Force Operasi Pematuhan telah melakukan 89,136 pemeriksaan dan snap check Covid-19 di seluruh negara dengan jumlah kekuatan anggota seramai 19,625 orang,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Menurut Ismail Sabri, semalam pasukan itu telah melakukan 5,785 pemeriksaan ke atas kilang, 15,388 premis perniagaan, 569 tapak pembinaan dan 297 asrama penempatan pekerja.

Daripada jumlah itu, katanya, empat kilang dan 20 premis diarahkan tutup kerana didapati melanggar arahan kerajaan dan SOP.

Sehingga semalam, secara kumulatifnya sebanyak 151,773 premis peniagaan telah diperiksa, kilang (25,970), tapak pembinaan (1,847) dan asrama penempatan pekerja (812). – MalaysiaGazette