Amir Hamzah Md. Isa

KUALA LUMPUR – Pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) boleh membuat permohonan ke institut pengajian tinggi swasta (IPTS) melalui portal MyUni.

MyUni yang diperkenal dan dikendalikan Persatuan Kebangsaan IPTS Bumiputera Malaysia (PKIBM) adalah sebuah portal atau sistem permohonan dalam talian pertama ke IPTS secara digital, bersepadu dan berpusat.

Menurut Presidennya, Amir Hamzah Md. Isa, PKIBM adalah sebuah persatuan kebangsaan dianggotai 50 IPT milikan usahawan pendidikan Bumiputera bertaraf universiti, kolej universiti dan kolej dari seluruh negara.

Kata beliau, portal itu boleh diakses melalui pautan www.myuni.com.my bagi membantu memudahkan lepasan SPM dan STPM mendapatkan maklumat mengenai peluang pengajian ditawarkan di IPTS di seluruh negara.

“Berbanding proses kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) melalui UPU Online kelolaan Bahagian Kemasukan Pelajar, Jabatan Pendidikan Tinggi, permohonan kemasukan pelajar ke IPTS sebelum ini dilaksanakan secara konvensional, tidak berpusat dan dikendalikan oleh institusi masing-masing.

“Namun, melalui pendekatan ini, pelajar yang berminat melanjutkan pengajian di IPTS atau tidak mendapat tempat di IPTA kini boleh mendapat maklumat lengkap dengan mudah seterusnya membuat pilihan institusi.

“Inisiatif ini bukti komitmen berterusan PKIBM membantu kerajaan meningkatkan akses pelajar lepasan sekolah ke pendidikan tinggi, khususnya mereka yang tidak berpeluang mendapat tempat di IPTA,” katanya pada sidang media yang diadakan secara maya, hari ini.

Menurut Amir Hamzah, portal MyUni yang menawarkan akses secara percuma kepada semua lepasan sekolah itu dibangunkan dengan kerjasama rakan strategik teknologi, Iklanika Sdn. Bhd.

Jelas beliau, portal itu juga merupakan hasil inovasi dan adaptasi norma baharu PKIBM dalam mendepani ketidaktentuan semasa serta cabaran pasca pandemik Covid-19.

“Secara umumnya, kadar yuran pengajian dikenakan IPT milikan usahawan Bumiputera PKIBM berpatutan dan langsung tidak membebankan keluarga khususnya ibu bapa.

“Semua IPT menyertai MyUni adalah yang diiktiraf Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), manakala program pengajian ditawarkan melalui sistem ini mendapat perakuan dan akreditasi penuh daripada Malaysian Qualifications Agency (MQA).

“Portal MyUni memiliki keistimewaan tersendiri, di mana ia boleh diakses di mana sahaja pada bila-bila masa sepanjang tahun,” katanya.

Beliau berkata, lepasan sekolah boleh mengakses semua kursus pengajian diploma dan ijazah sarjana muda ditawarkan oleh institusi yang mengambil bahagian dan mendapat maklumat mengenai sesi kemasukan setiap institusi.

Mereka juga boleh memadankan keputusan peperiksaan SPM dan STPM, minat dan kecenderungan dengan program pengajian ditawarkan serta bagi memudahkannya membuat keputusan secara menyeluruh dan tepat, mereka boleh menetapkan lokaliti sesebuah institusi, selain mendapat maklumat jelas berhubung jumlah yuran dan tempoh masa pengajian.

Ujarnya, sistem MyUni secara automatik akan memadankan kursus pengajian bersesuaian dengan pilihan lokaliti institusi, minat, kecenderungan dan keputusan peperiksaan.

Kata beliau, berdasarkan saringan itu, satu senarai lengkap program pengajian akan dipaparkan dan lepasan sekolah boleh memohon sehingga lima program pengajian.

“Semua permohonan direkodkan dalam sistem akan dihantar kepada institusi berkenaan dan sekiranya permohonan tersebut memenuhi syarat dan kelayakan, pihak institusi akan mengeluarkan surat tawaran melalui sistem MyUni seterusnya pelajar boleh mendaftarkan diri di kampus institusi pada masa ditetapkan.

“Melalui portal ini juga, lepasan sekolah berpeluang mendapatkan maklumat mengenai peluang pembiayaan pendidikan yang ditawarkan agensi kerajaan dan institusi kewangan yang mengambil bahagian,” katanya.

Ditanya sejak portal itu dibuka Mei lalu, Amir Hamzah berkata, MyUni telah dikunjungi kira-kira 13,000 pengunjung dan lebih 500 lepasan SPM serta STPM mendaftar sebagai pengguna.

Sehingga kini, kata beliau, sebanyak 50 IPTS telah mengambil bahagian dalam MyUni dan jumlahnya dijangka meningkat dari semasa ke semasa.

Katanya IPT PKIBM terdiri daripada lima IPTS bertaraf universiti, 14 kolej universiti dan 31 kolej dari seluruh negara dengan kapasiti 150,000 tempat pengajian komited menawarkan program berkualiti tinggi, diiktiraf dan menepati keperluan pasaran pekerjaan. – MalaysiaGazette