Kawasan yang diisytiharkan PKPD akan dipasang kawat berduri bagi mengelak penduduk keluar masuk.

KUALA LUMPUR – Kuarters Ladang Lepan Kabu A & B serta sebahagian kawasan Kampung Pahi, Kuala Krai, Kelantan mencatatkan peningkatan kes positif Covid-19.

Berdasarkan ujian saringan yang dilakukan ke atas 80 penduduk di kawasan itu, 18 daripadanya dilaporkan positif Covid-19 dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi.

Justeru, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, selepas membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berkuatkuasa 6 Julai ini.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bercakap kapada media selepas mengadakan lawatan bagi memantau pelaksanaan proses vaksinasidi Pusat Pemberian Vaksin WTCKL, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 01 JULAI 2021.
Ismail Sabri Yaakob

Katanya, pelaksanaan PKPD sehingga 19 Julai ini bertujuan untuk menyekat pergerakan dan penularan jangkitan dari kawasan berisiko keluar dari lokaliti tersebut.

“KKM hari ini melaporkan situasi terkini kes Covid-19 di Kuarters Ladang Lepan Kabu (A & B) dan sebahagian kawasan Kampung Pahi didapati berlaku peningkatan kes dan PKPD akan dilaksanakan selama dua minggu mulai Rabu ini,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Beliau berkata, kerajaan juga akan mengenakan PKPD di Kampung Jambatan Baru, Membakut, Beaufort, Sabah bermula 6 Julai ini kerana 17 daripada 20 yang menjalani ujian saringan didapati positif.

Begitu juga, katanya, Blok 6, Kampung Titingan, Tawau, Sabah turut diletakkan dalam pengawasan PKPD berikutan sembilan daripada 17 ujian saringan yang dilakukan dilaporkan positif Covid-19.

Ismail Sabri turut mengumumkan pelanjutan PKPD bagi Kampung Jaya Baru, Kunak, Sabah selama dua minggu lagi.

Katanya, PKPD kampung itu sepatutnya dijadualkan tamat esok, tetapi memandangkan kes positif dan penularan di lokaliti itu masih berlaku, kerajaan terpaksa melanjutkan lagi sehingga 19 Julai ini.

Turut dilanjutkan tempoh pelaksanaan PKPD ialah Kampung Serudung Baru, Tawau, Sabah, apabila masih terdapat 65 daripada 186 yang menjadi ujian saringan dilaporkan positif.

Sementara itu, empat lokaliti di Mukim Tenglu, Mersing, Johor ditamatkan PKPD mulai esok.

Lokaliti itu ialah Kampung Tanjung Genting, Kampung Benaung, Kampung Makam dan Kampung Sawah Datok.

“Sepanjang tempoh pelaksanaan PKPD, KKM telah melakukan 2,018 ujian saringan dan 78 daripadanya disahkan positif Covid-19, tetapi pada masa sama berlaku penurunan kes dan kluster adalah terkawal, manakala semua kes positif telah menerima rawatan.

“Lima lagi Taman Perumahan di Mentakab, Pahang turut ditamatkan iaitu Taman Bukit Bendera, Taman Rimba, Taman Sri Layang, Taman Saga dan Taman Saga Indah,” katanya.

Selain itu, tiga lagi lokaliti ditamatkan bermula esok iaitu Ladang Brumas, Kalabakan, Sabah; Kampung Pulutan, Nabawan, Sabah; dan Taman Wijaya Park, Kota Kinabalu, Sabah. – MalaysiaGazette