Gigi perlu digosok dua kali sehari. Gambar hiasan.

RAMAI yang memberus gigi, namun tidak ramai mengetahui bilakah masa yang sesuai untuk membersihkan gigi? Membersihkan gigi dengan menggunakan berus gigi dan ubat gigi merupakan kaedah utama dalam memastikan gigi berada dalam keaadaan baik. Memberus gigi dengan teknik yang betul dan menggunakan ubat gigi berflorida adalah keadah terbaik bagi memastikan kebersihan gigi adalah optimum.

Tujuan utama memberus gigi adalah untuk membuang lapisan kotor yang terkumpul
dipermukaan gigi dan gusi. Lapisan ini dikenali sebagai “plak”, tetapi lebih biasa dikenali
dengan taik gigi. Plak gigi terhasil secara semulajadi setiap hari dan mengandungi beratus
jenis bakteria. Jika plak tidak diberus dengan sempurna atau dibiarkan lama, ia boleh
menyebabkan dua masalah utama pergigian iaitu pertama, gigi rosak atau berlubang, dikenali juga sebagai karies gigi dan kedua, masalah kepada gusi.

Plak dan bakteria yang terkumpul pada permukaan gigi akan menghasilkan asid yang boleh menghakis permukaan gigi dan seterusnya menyebabkan gigi berlubang. Manakala masalah gusi pula boleh berlaku apabila plak tidak dibersihkan dengan sempurna terutama di bahagian leher gigi iaitu berhampiran gusi. Bakteria ini akan menyebabkan keradangan gusi seterusnya mengakibatkan masalah seperti gusi berdarah, mulut berbau dan gigi longgar. Kedua-dua masalah ini bukanlah terjadi dengan sekelip mata sebaliknya mengambil satu jangkamasa yang tertentu. Kerosakan hanya berlaku bilamana pendedahan kepada asid plak pada gigi dan pengumpulan plak pada gusi yang kerap atau berulang-ulang kali.

Gigi perlu diberus dilakukan sekurang-kurangnya dua kali sehari di waktu pagi dan malam. Kajian menunjukkan sekiranya gigi diberus kurang dari dua kali sehari, ia boleh mendatangkan masalah kepada gigi dan gusi berbanding dengan mereka yang memberus dua kali atau lebih. Memberus gigi di waktu malam perlu dilakukan sebelum tidur agar keadaan mulut dan gigi bersih. Ini amat penting kerana pada waktu malam, penghasilan air liur adalah kurang. Air liur adalah penting kerana ianya merupakan salah satu sistem pertahanan mulut kerana ia bersifat membersih secara semulajadi.

Air liur adalah beralkali, mengandungi banyak mineral dan mengandungi agen antibakteria. Kekurangan air liur akan menyebabkan keadaan mulut menjadi berasid akibat sisa makanan dan bakteria yang ada didalamnya, dimana ia tidak dapat dineutralkan dengan sempurna. Seterusnya, kerosakan gigi akan mula berlaku. Pada masa yang sama, plak yang terkumpul di gusi pula akan mula menyebabkan gusi menjadi merah, bengkak dan bernanah. Oleh itu adalah penting untuk membersihkan mulut dan gigi sebelum tidur.

Bagaimana pula memberus gigi di waktu pagi? Adakah sebelum atau selepas sarapan pagi? Memberus gigi sebelum atau selepas sarapan merujuk kepada pendapat dan kriteria yang berbeza. Sekiranya gigi diberus sebelum sarapan pagi, permukaan gigi akan menjadi bersih dan diselaputi oleh lapisan fluorida (bila menggunakan ubat gigi jenis fluorida). Lapisan fluorida ini akan bertindak sebagai lapisan pencegahan dari asid yang dihasilkan oleh bakteria. Oleh itu menggunakan ubat gigi yang mengandungi fluorida adalah penting dan penggunaannya amat disarankan. Fluorida boleh menghalang hakisan asid yang rendah akibat dari pemakanan kabohidrat atau makanan/minuman bergula. Permukaan gigi yang bersih juga boleh mengurangkan bakteria yang sedia ada dan dapat mengurangkan penghasilan asid di permukaan gigi.

Selepas sarapan pagi, bakteria sedia ada akan bertindakbalas dengan sisa makanan lalu
menghasilkan asid yang boleh menyerang permukaan gigi. Proses ini dipanggil demineralisasi dimana mineral di permukaan gigi menjadi mudah terhakis, manakala proses baik pulih dikenali sebagai remineralisasi. Remineralisasi boleh berlaku sekiranya air liur terhasil secara baik dan mineral yang berada di dalam mulut bertindak menggantikan mineral-mineral di permukaan gigi yang hilang akibat dari serangan asid tadi. Ini membolehkan permukaan gigi berada dalam keadaan baik, kerana penggantian mineral yang seimbang telah berlaku. Kedua-dua proses ini merupakan kitaran semula jadi yang berlaku secara bersilih ganti di permukaan gigi.

Kerosakan dipermukaan gigi boleh terjadi bila keseimbangan penggantian mineral ini terganggu atau keadaan asid dipermukaan gigi berlaku secara berterusan. Sebagai contoh, memakan makanan manis yang berterusan dengan tidak mempunyai ruang masa untuk proses remineralisasi berlaku akan menyebabkan permukaan gigi terhakis dan lama kelamaan menyebabkan gigi rosak atau berlubang.

Membersihkan gigi selepas sarapan boleh dilakukan, tetapi perlulah dilakukan sekurang-
kurangnya 30 minit selepas makan. Ini kerana secara teorinya keadaan mulut agak berasid sejurus selepas makan akibat pengambilan makanan yang berkabohidrat tinggi dan minuman berasid seperti jus oren dan kopi. Akibat keadaan mulut yang sedia berasid, permukaan gigi akan mudah terhakis sekiranya gigi terus diberus selepas makan. Berkumur-kumur atau meminum air masak adalah digalakkan untuk meneutralkan asid yang terhasil agar permukaan gigi tidak terhakis akibat dari pembentukan asid dari tindakbalas bakteria dan makanan tadi.

Selain itu, menggunakan ubat gigi berfluorida akan mengukuhkan pertahanan permukaaan gigi dari serangan asid pada kadar pH yang lebih rendah. Mereka yang menggunakan ubat gigi berfluorida mempunyai kadar kerosakan gigi yang lebih rendah berbanding mereka yang tidak menggunakannya. Oleh yang demikian, memberus gigi sebelum atau selepas sarapan pagi adalah dibolehkan tetapi bergantung kepada faktor yang dinyatakan tadi. Memberus gigi sebelum makan dapat menyediakan permukaan gigi yang bersih yang akan bertindak sebagai sistem pertahanan dari tindakbalas asid. Manakala selepas makan pula, perlulah dilakukan sekurang-kurangnya 30minit selepas makan agar gigi tidak mudah terhakis bila dibersihkan.

Menjaga kebersihan mulut dan gigi adalah penting. Memberus gigi sekurang-kurang dua kali sehari adalah amat perlu bagi memastikan kesihatan mulut dan gigi terjaga. Sebagai langkah tambahan, menggunakan ubat kumur-kumur dan flos adalah digalakkan. Manakala pemeriksaan pergigian perlu dilakukan sekurang-kurangnya dua kali setahun. Pastikan gigi sentiasa dibersihkan pada waktu pagi dan sebelum tidur bagi menjaga kesihatan oral dan mengurangkan masalah pergigian.

Prof Madya Dr Normaliza Ab Malik &
Dr Wan Nur Alwani Wan Abdul Aziz
Fakulti Pergigian,
Universiti Sains Islam Malaysia