IGP Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani EMCO vaccination
Acryl Sani Abdullah Sani

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah melakukan sebanyak 202,591 pemeriksaan sepanjang Ops Patuh Perintah Kawalan Pergerakan Penuh di seluruh negara sejak 25 Jun hingga semalam.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, dalam operasi bersepadu dengan agensi penguat kuasa lain, sebanyak 169,629 premis perniagaan dan 25,651 kilang telah diperiksa di seluruh negara.

Pemeriksaan juga turut dilakukan ke atas 6,258 tapak pembinaan dan 1,053 asrama penempatan pekerja.

“Pasukan pemeriksaan PDRM bersama agensi lain turut mengeluarkan kompaun terhadap 1,919 premis yang didapati melakukan kesalahan membabitkan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dalam operasi itu.

“Selain itu, sebanyak 250 premis yang tidak dibenarkan beroperasi sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah diarahkan ditutup serta-merta,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Acryl Sani, Op Patuh yang dilaksanakan kali ini melibatkan penyertaan seramai 23,855 pegawai dan anggota PDRM bersama agensi lain membabitkan 5,366 pasukan pemeriksaan ditugaskan di seluruh negara secara serentak.

“PDRM ingin memberi peringatan kepada orang ramai supaya terus mematuhi peraturan dan arahan yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara bagi mengekang penularan Covid-19,” tegas beliau.-MalaysiaGazette