EMCO Enhanced Movement Control Order Selangor KL Kuala Lumpur Ismail Sabri Yaakob essential services
Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Pulau Pinang akan memasuki peralihan fasa dua bermula Rabu ini selepas sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) berpuas hati dengan pembentangan peralihan fasa bagi negeri di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, peralihan fasa bagi negeri itu dibuat berikutan pencapaian nilai ambang tiga indikator utama iaitu purata kes jangkitan harian selama tujuh hari di bawah nilai ambang 12.2 kes per 100,000 iaitu 9.5 kes per 100,000.

Katanya, indikator kedua ialah kadar penggunaan katil wad ICU mencapai tahap sederhana (moderate) dan penilaian Capacity to Respond yang berada pada tahap adequate, manakala indikator ketiga ialah kadar vaksinasi lengkap dua dos ke atas populasi dewasa melebihi 10 peratus iaitu pada kadar 10.1 peratus.

“Setelah meneliti nilai-nilai ambang atau threshold negeri, sidang Khas MKN yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersetuju peralihan negeri Pulau Pinang ke fasa seterusnya iaitu fasa dua.

“Berdasarkan tiga indikator ini dan penilaian terperinci agensi termasuk Kementerian Kesihatan (KKM), kerajaan bersetuju untuk melaksanakan peralihan fasa PPN bagi negeri Pulau Pinang berkuat kuasa 7 Julai 2021,” katanya dalam kenyataan kepada media, petang ini.

Menurut beliau, bagi negeri yang berjaya beralih ke fasa dua dinasihatkan terus berusaha melindungi komuniti daripada jangkitan Covid-19 dan tingkatkan prestasi negeri masing-masing supaya dapat beralih ke fasa seterusnya.

Ini katanya, akan membantu untuk mempercepatkan proses pemulihan sektor ekonomi dan sosial di negeri berkenaan.

Mengenai pengoperasian kedai runcit, kedai serbaneka, pasar raya dan pasar mini, kata beliau, MKN sebelum ini telah memutuskan semua jenis barang dagangan di kedai berkenaan boleh dijual kepada pelanggan sepanjang tempoh PPN ketika ini.

“Ini berikutan terdapat kekeliruan dalam kalangan pemilik premis yang menutup sebahagian seksyen barangan di premis perniagaan mereka dan tidak dijual kepada pelanggan.

Bagi premis makanan, Ismail Sabri berkata, boleh beroperasi di Fasa 1 dan Fasa 2 bermula jam 6  pagi sehingga 10 malam seperti yang diumumkan sebelum ini.

“Bagi mengelakkan kekeliruan, sekali lagi ingin ditegaskan bahawa hanya premis makanan di semua kawasan PKPD termasuk di mukim di Selangor dan beberapa lokaliti tertentu di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sahaja yang beroperasi bermula jam 8 pagi sehingga 8 malam.

“Kerajaan turut membenarkan semua penduduk di kawasan PKPD untuk keluar bagi tujuan mendapatkan suntikan vaksin. Begitu juga, yang ingin pulang ke kampung untuk membawa ahli keluarga mendapatkan suntikan vaksin sama ada di luar daerah atau negeri dibenarkan.

“Mereka hanya perlu menunjukkan temujanji MySejahtera dan mendapatkan kebenaran daripada polis. Bagi tujuan pergerakan mendapatkan vaksin, maksimum tiga orang dibenarkan termasuk pemandu,” katanya.

Beliau turut menjelaskan, sidang MKN juga memutuskan membenarkan pejabat KWSP di kawasan PKPD beroperasi bermula jam 9 pagi sehingga 1 tengah hari dengan kapasiti 60 peratus kehadiran pekerja bagi menguruskan penyaluran skim bantuan kerajaan.

Bagaimanapun, katanya, bagi pejabat KWSP yang kecil seperti di kawasan luar bandar, jumlah pekerja dibenarkan dengan kapasiti maksimum. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast