Petugas kesihatan memberi suntikan vaksin. Foto MOHD ADZLAN, 25 JUN 2021.

KUALA LUMPUR – Golongan mahasiswa berkeperluan yang kini sedang berada di kampus perlu diberi suntikan vaksin Covid-19 dengan segera.

Bagi tujuan itu, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) perlu berhubung dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) agar fasiliti Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dapat dibuka di beberapa buah universiti lagi bagi mempercepatkan proses pemberian vaksin, kata Pengerusi Majlis Politik Nasional Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS), Muhamad Nursyahmi Shaare.

Katanya, perkara itu perlu dilakukan berikutan mahasiswa telah berada di kampus dan disebabkan itu proses pemberian vaksin wajar dimudahkan, sekaligus dapat memberi sedikit kelonggaran SOP kepada mahasiswa yang berada di kampus untuk meneruskan pembelajaran mereka.

“GAMIS juga menyarankan pemberian vaksin kepada golongan mahasiswa berkeperluan yang berada di pedalaman juga harus disegerakan kerana masalah capaian internet yang tidak berkesudahan merencatkan perjalanan Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) sepanjang semester.

“Mahasiswa sentiasa memerhatikan tindak-tanduk KPT dalam menyelesaikan isu yang berkaitan mahasiswa. Jangan lambat dalam tindakan sehingga akhirnya mahasiswa jua yang merana,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Muhamad Nursyahmi berkata, pihaknya merasakan adalah wajar golongan mahasiswa dan warga universiti atau institusi pendidikan seperti sekolah dapat disenaraikan sebagai golongan yang akan diberi keutamaan dalam penerimaan suntikan vaksin.

Hanya dengan ini institusi pendidikan dan pengajian tinggi dapat dipulihkan dan pembelajaran dapat dijalankan dengan lebih baik, katanya.

Ujarnya, GAMIS mendoakan agar Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dapat dijalankan dengan baik dan mencapai sasaran imuniti kelompok menjelang hujung tahun ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast