Seorang pekerja sektor pembuatan menerima suntikan vaksin di tapak pusat pemberian vaksin (PPV) di bawah program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam Swasta (PIKAS) di Pusat Konvensyen Setia City (SCCC), Setia Alam, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 28 JUN 2021.

PANDEMIK Covid-19 di Malaysia telah mencecah hari ke 528 sejak kes pertama bertapak di tanah air bermula 25 Januari 2020 yang lalu. Negara juga telah menyaksikan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga peringkat ketiga (PKP3.0) pada kali ini. Angka kes naik dan turun, kebanyakannya mengikut tema hari percutian dan perayaan.

Sepanjang tempoh ini juga kita dapat melihat pertukaran negeri yang menduduki carta teratas statistik kes COVID-19. Setelah kenaikan kes secara mendadak pada hujung Disember 2020 yang mana Sabah menduduki tangga teratas, diikuti dengan negeri-negeri yang lain seperti Kelantan pada suatu ketika, Selangor kini telah mencatat jumlah kes harian tertinggi masuk ke bulan yang keempat.

Jumlah kes yang tinggi ini pada mulanya dikaitkan dengan perjalanan di musim perayaan yang mana kes positif di sekolah-sekolah termasuklah sekolah berasrama penuh turut meningkat sehingga mengakibatkan penutupan semula sekolah dan beberapa buah sekolah turut terpaksa dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) menjelang Hari Raya Aidilfitri yang lalu.

Dalam tempoh sebulan daripada PKP dilaksanakan semula, kes yang berkaitan dengan kluster perayaan mula menurun, jumlah kes di Sabah dan Kelantan mula berkurangan, namun kes harian di Selangor tetap meningkat. Di Selangor, kluster baharu berkaitan dengan tempat kerja mula meningkat dengan mendadak. Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari memaklumkan bahawa 91% daripada jumlah kluster adalah kluster tempat kerja, yang mana 80% merupakan kluster dari kilang dan 11% yang berbaki adalah dari tapak pembinaan. Pembahagian kes masih lagi tidak banyak berubah walaupun kebanyakan pejabat telah mengamalkan sistem Bekerja Dari Rumah (BDR) untuk kebanyakan daripada pekerja mereka.

Berdasarkan keadaan semasa, diperhatikan bahawa walaupun PKP3.0 telah dilaksanakan,
perlaksanaannya masih terlalu longgar mengakibatkan pergerakan rakyat kelihatan masih bebas. Kebanyakan kilang masih lagi beroperasi walaupun dikhabarkan hanya industri tertentu yang dibenarkan beroperasi. Kelemahan sistem yang mengakibatkan kelulusan untuk beroperasi diperolehi terlalu mudah turut mengakibatkan masih banyak kilang yang beroperasi, sekali gus  mendedahkan pekerja kepada jangkitan Covid-19 ini. Pendedahan kepada pekerja sedikit sebanyak mengakibatkan pendedahan dan kebolehjangkitan kepada ahli keluarga dan sekaligus mendedahkan bukan sahaja pekerja malah ahli keluarga mereka terhadap jangkitan ini. Keadaan tempat tinggal yang padat bagi sesetengah pekerja juga menyumbang kepada bilangan kes harian dalam sehari.

Jadi, apa yang harus dilakukan? Adakah melaksanakan PKP secara berterusan mampu untuk mengurangkan kes sekaligus menurunkan kadar kebolehjangkitan kepada yang minimum? Sekiranya PKP dilaksanakan secara berterusan, adakah kesan dan impak terhadap ekonomi negeri dan negara dapat dikawal?

Di antara solusi yang boleh dibincangkan termasuklah meningkatkan kemuafakatan di antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri. Ini amat penting bagi memastikan sebarang keputusan yang melibatkan bidang kuasa kedua-dua belah pihak dilakukan dengan baik demi kemaslahatan rakyat yang ramai di negeri tersebut.

Cadangan pertama yang mungkin boleh diberi pertimbangan adalah mengadakan pemberian vaksin secara besar-besaran di setiap daerah, mukim dan kampung di Selangor. Penggerakan sistem vaksin bergerak juga mungkin boleh ditingkatkan dari segi bilangan dan capaian terutama sekali di kawasan yang agak jauh daripada bandar.

Selain daripada itu, pemberian vaksin secara kelompok di kilang-kilang haruslah dilaksanakan dengan lebih giat. Setiap pekerja haruslah dipastikan mendapat dua dos vaksinasi seperti yang telah ditetapkan oleh pengeluar sebelum dibenarkan bekerja. Sekiranya ada keperluan untuk kilang terus beroperasi, ianya haruslah menggunakan tenaga kerja yang paling minimum dan melibatkan jumlah pekerja yang sedikit pada satu-satu masa.

Sehingga hujung Jun 2021, kadar vaksinasi di Selangor masih rendah. Walau bagaimanapun, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud memaklumkan bahawa ini disebabkan oleh kekurangan bekalan vaksin kepada negeri dan bukan disebabkan oleh kekurangan kapasiti mahupun jumlah Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

Operasi perniagaan juga perlulah mengambil kira perniagaan yang kecil, tidak terhad kepada kilang-kilang besar sahaja. Ini kerana kebanyakan di antara mereka yang terjejas merupakan peniaga kecil-kecilan yang masih perlu membayar sewa bangunan/kiosk sedangkan mereka tidak dapat beroperasi. Pemberian moratorium juga tidak mampu untuk mengurangkan bebanan kebanyakan daripada mereka sehingga mengakibatkan mereka terpaksa menutup perniagaan mereka setelah menanggung kerugian yang agak banyak disebabkan oleh PKP yang berterusan ini.

Penggunaan pelitup muka dan penjarakan sosial haruslah diperketatkan bagi mengurangkan jangkitan di kalangan masyarakat. Premis perniagaan yang biasanya mempunyai masalah penjarakan sosial ini termasuklah kedai-kedai runcit yang tiada ruang yang secukupnya bagi menampung pelanggan. Penggunaan aplikasi MySejahtera juga amat penting bagi memastikan pelanggan merekodkan kehadiran mereka, ini bagi memastikan sekiranya berlaku sebarang penularan di kawasan berkenaan, mereka yang terlibat boleh menyemak sama ada mereka terdedah kepada jangkitan ataupun sekadar kontak kasual. Ini penting supaya mereka boleh melaksanakan kuarantin kendiri terutama sewaktu di rumah bagi mengelakkan penularan jangkitan kepada ahli keluarga.

Selain daripada cadangan yang diberikan, marilah kita sama-sama memerhatikan analisa daripada tiga puluh buah negara termasuklah negara jiran kita Brunei Darussalam yang kini telah berjaya mengekang penularan COVID-19 di negara masing-masing yang mana kes harian kebanyakan daripada negara-negara ini adalah sifar dan yang paling tinggi mencecah angka 20 pesakit pada satu hari.

Di antara langkah-langkah yang telah negara ini lakukan termasuklan melaksanakan amalan yang paling asas seperti memakai pelitup muka, menjaga penjarakan fizikal, mengurangkan pendedahan bagi mereka yang berisiko seperti warga emas, mempunyai berat badan berlebihan, penhidap penyakit kronik dan mereka yang mempunyai sistem ketahanan badan yang rendah. Golongan ini merupakan golongan terakhir yang dibenarkan untuk keluar semula daripada perlindungan kerana mereka merupakan golongan yang paling berisiko. Negara-negara ini juga turut mengambil tindakan
yang pantas tanpa menunggu data atau keputusan daripada ujian, mengadakan fasiliti kuarantin yang berbeza daripada rumah masing-masing, mengadakan sekatan perjalanan yang ketat dan membenarkan aktiviti ekonomi tempatan untuk bermula terlebih dahulu bagi kawasan-kawasan zon hijau manakala bagi keperluan perjalanan yang benar-benar penting, kuarantin wajib dikenakan bagi setiap individu bagi mengelakkan penularan virus.

Ujian secara besar-besaran dan meluas juga turut dijalankan bagi mengenalpasti individu yang telah dijangkiti baik bergejala mahupun tidak dan tindakan untuk mengasingkan mereka daripada komuniti terus dilaksanakan. Selain daripada itu mereka juga turut mengamalkan pengesanan kontak dengan menyediakan jawatan bagi pengesan ini serta menggunakan kaedah dan teknologi pengesanan secara digital bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat terjamin, sekali gus dapat mengembalikan semula kehidupan kepada yang lebih normal.

Dr Jannatul Madihah Abu Bakar
Setiausaha
Exco Wanita, Remaja dan Kanak-kanak (WARAK)
Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast